Rafizi Dicabar Ulang Dakwaan Lengkap Kaitkan Pemimpin SPR

Diterbitkan: Rabu, 24 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli dicabar supaya mengulangi dakwaannya berhubung penglibatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berhubung perolehan pembelian dakwat kekal.

Menurut Abdul Aziz, Ahli Palimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diberi tempoh selama seminggu untuk berbuat demikian sekiranya beliau bertanggungjawab terhadap dakwaan yang dibuat di Dewan Rakyat minggu lalu.

"Ketika di luar Dewan, beliau ulangi kenyataannya tapi tidak sebut nama dan jawatan kami dalam SPR. Ini adalah satu perbezaan besar kerana ketika berucap dalam Dewan Rakyat, beliau sebutkan nama penuh dan jawatan kami sebagai pengerusi dan timbalan.

"Di luar Dewan beliau tiada imuniti, jadi beliau tidak sebut nama kami...hanya merujuk sebagai kepimpinan tertinggi SPR.

"Kalau beliau bertanggungjawab dan betul-betul anak jantan, sila ulang kenyataannya supaya kami boleh berbincang dengan peguam untuk tindakan susulan," katanya pada sidang media di Dewan Majlis Daerah Besut di sini, Rabu.

Menerusi persidangan Dewan Rakyat minggu lalu, Mohd Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR, mendedahkan nama seorang individu, Mohamed Salleh Mohamed Ali daripada Singapura yang didakwa pemilik kepada syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 lalu.

Syarikat Mohamed Salleh, Integrated Challenger (M) Sdn Bhd, didakwa mendapat kontrak membekal dakwat tersebut melalui proses rundingan terus.

Rafizi mendakwa Mohamed Salleh adalah seorang pakar rundingan terus yang juga mempunyai hubungan rapat dengan Pengerusi SPR dan timbalannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan