Operasi Bersepadu Buru Pati Besar-Besaran Akan Dilaksana Selepas Hari Raya - Zahid Hamidi

Diterbitkan: Isnin, 22 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Satu gerakan operasi bersepadu bagi memburu pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini akan dilakukan secara besar-besaran selepas Hari Raya Aidilfitri ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, gerakan itu akan melibatkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta agensi-agensi penguatkuasaan lain.

"Operasi bersepadu secara besar-besaran ini bertujuan supaya Jabatan Imigresen dapat melaksanakan operasi yang lebih efektif dan menyeluruh.

"Ia bukan sahaja untuk mencari kesalahan berkaitan Akta Imigresen tetapi merangkumi kesalahan undang-undang di Malaysia. Selain kesalahan jenayah, antara masalah lain yang menjadi fokus Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah dadah dan Pati," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran Jabatan Imigresen di sini, Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Zahid berkata, Jabatan Imigresen telah menjalankan operasi secara besar-besaran, termasuk pada bulan Ramadan bagi mengesan Pati yang menjalankan perniagaan di bazar-bazar Ramadan.

"Setakat ini, sebanyak 120 tangkapan telah dibuat yang melibatkan Pati di bazar-bazar Ramadan.

"Di musim perayaan nanti kita akan terus memantau termasuk pihak majikan yang menggaji Pati ini tanpa mempunyai permit dan majikan yang melindungi Pati, juga akan dikenakan tindakan," katanya.

Menurut Zahid, antara lokasi gerakan operasi bersepadu bagi memburu Pati itu adalah di pusat-pusat hiburan, kawasan perladangan dan perkilangan.

Beliau menambah, menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pati (Program 6P) yang dilaksanakan oleh KDN sebelum ini, seramai 1.3 juta Pati telah didaftarkan dan daripada jumlah itu, 500,000 Pati telah menjalani proses pemutihan serta 330,000 telah pulang ke negara asal mereka secara sukarela.

"Sepanjang operasi (Ops) 6P yang dijalankan sejak 20 Oktober 2011 sehingga 18 Julai tahun ini, kita telah membuat penangkapan seramai 40,730 Pati dan hampir 1,000 majikan.

"Daripada jumlah tersebut, 318 majikan telah didakwa dan 46 majikan telah dipenjarakan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan