Felda Wujud Cabang Perniagaan Baharu Bagi Peneroka

Diterbitkan: Isnin, 22 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Felda bakal mewujudkan cabang perniagaan baharu, Felda Investment Corporation, dalam tempoh terdekat bagi menambah sumber pendapatan kepada lebih dua juta penerokanya.

"Sumber ini akan membolehkan para peneroka memasarkan hasil produk inovatif mereka, yang akan dikomersialkan ke peringkat antarabangsa," kata Pengarah Besarnya Datuk Faizoull Ahmad, pada sidang media Isnin.

Beliau berkata setakat ini, keempat-empat punca pendapatan bagi golongan peneroka Felda merupakan hasil industri kelapa sawit, Koperasi Permodalan Felda 1, Koperasi Permodalan Felda 2 dan Felda Global Ventures Holdings.

Antara projek inovatif yang bakal dilancarkan yang melibatkan peruntukan RM45 juta, termasuk penternakan ikan Tilapia, inap desa Rumah Peneroka, projek kraf logam, projek pertanian bersepadu serta rumah banglo untuk generasi baharu Felda projek Sentuhan Kasih.

Kesemua projek tersebut yang bakal dijadikan penjana ekonomi Malaysia menjelang 2020, dipamerkan pada program "Showcase Inovex" yang berlangsung mulai hari ini hingga 26 Julai.

Showcase Inovex itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Abu Bakar Mohamad.

"Felda mempunyai banyak produk kreatif yang perlu diketengahkan dan diberi nilai tambah, dan berdasarkan dua juta peneroka yang ada, saya yakin lebih banyak lagi produk yang bakal dikomersialkan ke luar negara," katanya.

Katanya Malaysia mempunyai rakyat yang kreatif, dan oleh itu golongan peneroka Felda perlu bijak mencari peluang serta berfikiran kreatif dan inovatif dalam menghasilkan sesuatu produk yang boleh dipasarkan, bukan sekadar menciptanya.

"Kerajaan menetapkan sasaran untuk menghasilkan 360 produk yang boleh dikomersilkan di peringkat antarabangsa menjelang 2020, dan 10 hingga 20 produk itu perlulah datang daripada hasil peneroka Felda," katanya.

Abu Bakar berkata kementerian itu turut menyediakan tiga geran besar, antara RM500,00 dan RM3 juta untuk produk-produk yang layak dikomersialkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan