Dewan Ulama PAS Mahu Hadi Jadi MB

Diterbitkan: Isnin, 22 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Dewan Ulama PAS Pusat menggesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang kembali menduduki kerusi Menteri Besar sekiranya pakatan pembangkang berjaya menyamakan jumlah kerusi dengan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, Presiden PAS itu layak diangkat semula ke jawatan berkenaan apabila parti itu menang pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut Rabu ini.

"Datuk Seri Abdul Hadi pernah menjadi Menteri Besar, jadi apabila PAS berjaya dapat 16:16, kita lantik semula beliau menjadi Menteri Besar," katanya ketika berceramah di Kampung Tok Saboh di sini, Isnin malam.

Gesaan ini dilihat bertentangan dengan pendirian terbuka Abdul Hadi pada Jumaat lalu membayangkan bahawa beliau tidak berminat untuk merebut jawatan Menteri Besar jika PAS berjaya memenangi pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.

Menerusi ceramahnya Jumaat lalu, Abdul Hadi berkata PAS sanggup memberi laluan kepada BN untuk berkuasa di Terengganu walaupun mereka mempunyai jumlah kerusi yang sama banyak.

Sebelum ini Abdul Hadi pernah diangkat menjadi Menteri Besar Terengganu selama satu penggal antara 1999 dan 2004 sebelum BN kembali merampas negeri itu pada PRU 2004.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan wakil PAS, Endut @ Azlan Yusof.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan