Bantuan Untuk Rakyat Hasil Pendedahan PAS - Dr Hatta

Diterbitkan: Ahad, 21 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: PAS mendakwa pengumuman pelbagai bantuan kerajaan untuk kepentingan rakyat Kuala Besut merupakan hasil daripada pelbagai pendedahan yang diketengahkan mereka.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata rakyat di Kuala Besut tidak akan menikmati pelbagai nikmat dan kemudahan sekiranya tidak berlaku pilihan raya kecil di kawasan ini.

"Jika PAS tidak meletakkan calon bertanding, maka tidak adalah janji-janji ini kepada rakyat.

"Jadi apabila lebih banyak kepincangan BN yang kami dedahkan, lebih banyak bantuan yang akan dinikmati rakyat," katanya pada sidang media di markas PAS di Kampung Baharu di sini, Ahad.

Pada sidang media itu Dr Hatta berkata sepanjang pilihan raya kecil ini kerajaan mengumumkan sepuluh projek membabitkan peruntukan keseluruhan melebihi RM377 juta termasuk yang terkini projek mendalamkan muara Sungai Besut bernilai RM250 juta.

Selain itu kerajaan juga mengumumkan projek menaiktaraf empangan rendah bernilai RM35 juta di Kampung Nangka untuk kepentingan petani.

Ditanya sama ada pemberian projek segera kepada rakyat termasuk di kawasan kubu kuat PAS di Kampung Nangka itu akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap parti itu, Dr Hatta bagaimanapun menolak kenyataan itu.

"Kita yakin pengundi akan tetap memberikan undi kepada PAS jika lebih banyak pendedahan yang kita lakukan.

"Pendedahan ini seharusnya memberi faedah kepada pihak yang membuat pendedahan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan