Letupan Kuari: Kerajaan Negeri Tidak Teragak-Agak Ambil Tindakan Jika Cuai

Diterbitkan: Sabtu, 20 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa dua buah kereta yang rosak teruk dihempap batu-batu yang berterbangan dari sebuah kuari yang meletup di Jalan Bukit 1, Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, Jumaat. -fotoBERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa dua buah kereta yang rosak teruk dihempap batu-batu yang berterbangan dari sebuah kuari yang meletup di Jalan Bukit 1, Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, Jumaat. -fotoBERNAMA

JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat kecuaian dalam kejadian letupan kuari yang mengorban seorang pekerja kilang dan mencederakan 10 yang lain berhampiran Kawasan Perindustrian Seri Alam di sini, Jumaat.

Menegaskan demikian, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau kini sedang menunggu laporan terperinci daripada agensi penguatkuasaan terlibat untuk diteliti bagaimana kejadian itu berlaku.

"Sepanjang tempoh siasatan oleh pihak berkuasa itu, saya seru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, Sabtu.

Beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dan mendoakan agar mangsa yang cedera cepat sembuh.

Mangsa yang mati adalah seorang warga Nepal berumur sekitar 30-an yang bekerja di sebuah kilang yang terletak 500 meter dari kawasan kuari.

Kejadian itu turut merosakkan 18 buah kereta, 14 buah kilang lain dan sebuah sub stesen milik Tenaga Nasional Berhad.

Aktiviti kuari dilapor dihentikan serta-merta akibat kejadian itu.

Mangsa yang meninggal berserta mereka yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan