SPR Kaji Ganti Dakwat Kekal Dengan Sistem Biometrik

Diterbitkan: Jumaat, 19 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji untuk menggantikan dakwat kekal dengan sistem biometrik seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Timbalan pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pindaan undang-undang hendaklah dibuat jika mahu membatalkan penggunaan dakwat kekal.

"Kami masih meneliti perkara itu secara dalaman," katanya, sambil menambah sistem biometrik sepatutnya lebih sesuai untuk Malaysia kerana ia berada dalam barisan hadapan digital, teknologi maklumat dan komunikasi.

Beliau menegaskan sistem pendaftaran kebangsaan dan MyKad adalah antara yang terbaik di dunia.

"Penggunaan dakwat kekal (yang diilhamkan oleh pihak pembangkang) adalah mundur. Hanya negara dunia ketiga yang menggunakannya. Kita mempunyai pangkalan data rakyat yang terbaik. Jadi, kenapa kita harus menggunakan dakwat kekal seperti negara-negara dunia ketiga?" katanya.

Beliau mengulas kenyataan Shahidan di Parlimen bahawa kerajaan terbuka terhadap idea pelupusan dakwat kekal ini dan menggantikannya dengan sistem biometrik.

Wan Ahmad berkata, walaupun idea untuk melaksanakan dakwat kekal datang daripada pihak pembangkang, ia telah menjadi subjek cemuhan kerana agenda yang bermotifkan politik.

"Tidak ada insiden mengundi dua kali dalam pilihan raya umum ke-13. Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat mereka yang bertindak melampau membasuh dakwat dari jari mereka, mereka tidak akan berjaya mengundi dua kali," katanya.

Menafikan dakwaan ahli Parlimen pembangkang Rafizi Ramli bahawa beliau mempunyai hubungan rapat dengan pembekal dakwat, Wan Ahmad berkata, beliau tidak terlibat dalam pemerolehan dakwat kerana ia telah dikendalikan oleh pegawai-pegawai suruhanjaya.

"Saya tidak boleh bercakap untuk orang lain tetapi saya benar-benar tidak terlibat dalam mana-mana aspek berkaitan mendapatkan bekalan dakwat. Pegawai-pegawai SPR mengendalikan perolehan dakwat berdasarkan keperluan yang ditetapkan oleh pengurusan atasan suruhanjaya. Semua yang mereka lakukan semasa proses ini adalah selaras dengan undang-undang dan akhirnya diluluskan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Pada Selasa, Rafizi memberitahu Dewan Rakyat bahawa dakwat itu dibekalkan oleh Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd melalui rundingan terus bagi kontrak RM6.9 juta dan pemilik syarikat itu rapat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan, termasuk Pengerusi SPR dan Timbalan Pengerusi.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah pun dipetik dalam portal berita dalam talian sebagai menyangkal sebarang hubungan dengan pembekal.

Wan Ahmad juga berkata keutamaan semasa SPR adalah untuk menubuhkan satu kumpulan kerja untuk mengkaji dakwaan yang berkaitan dengan daftar pemilih.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan