Ruang Transit KLIA Di Luar Bidang Kuasa Jabatan Imigresen

Diterbitkan: Jumaat, 19 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Alias Ahmad
Alias Ahmad

PUTRAJAYA: Ruang transit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di mana berlakunya kes warga asing yang terkandas merupakan kawasan di luar bidang kuasa Jabatan Imigresen, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad.

Beliau menegaskan bahawa Jabatan Imigresen hanya mempunyai kuasa terhadap mana-mana warga asing yang melalui pemeriksaan Imigresen di semua pintu masuk negara yang digazetkan di bawah Akta Imigresen.

“Dalam struktur KLIA, kawasan bangunan satelit (ruang transit) bukan kawasan yang digazetkan di bawah Akta Imigresen. Maka mereka yang terkandas itu adalah di luar kawalan kita,” katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Alias mengulas kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidinmenerusi blognya, www.zamkata.blogspot.com pada Ahad lalu berhubung laporan eksklusif The Star mengenai warga Palestin, Ahmed Kanan, 22, yang terkandas di ruang transit KLIA selama lebih 50 hari.

Menurut Zainuddin di blognya, pendedahan The Star pada 13 dan 14 Julai lalu adalah untuk kemanusiaan tetapi berjaya membongkar dari aspek kelemahan agensi kerajaan yang terlibat dengan keselamatan pintu masuk ke negara ini termasuk Jabatan Imigresen.

Alias berkata, di bawah bidang kuasa Imigresen, mereka bertanggungjawab untuk mengawal ketat pergerakan keluar masuk di semua pintu masuk negara terutama mereka yang dilarang keluar/masuk atas sebab-sebab tertentu atau disenaraihitamkan.

Beberapa langkah kawalan dilakukan seperti penggunaan biometrik, mengadakan hubungan baik dengan polis antarabangsa (Interpol) dan mempunyai hubungan dengan negara-negara tertentu dalam perkongsian maklumat risikan.

Beliau menambah, Jabatan Imigresen tidak akan sesekali berkompromi dalam isu keselamatan dan keamanan negara.

“Jika kawalan di pintu masuk adalah longgar di pihak Imigresen, sudah tentu mereka yang terkandas ini boleh bolos masuk ke negara kita,” katanya sambil menambah bahawa pengiktirafan ‘Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia’oleh Skytrax untuk tiga tahun sejak 2010 membuktikan kekuatan Imigresen di KLIA.

Menurut Alias, terdapat pasukan petugas yang diketuai pegawai Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) yang memantau di bangunan terminal KLIA setiap malam.

“Mereka akan membuat pemantauan terhadap individu yang disyaki mencurigakan atau melakukan aktiviti-aktiviti yang melanggar peraturan atau undang-undang.

“Pasukan petugas ini seharusnya lebih efektif dan proaktif dalam menjalankan tanggungjawab pemantauan di kawasan itu dengan lebih berkesan,” katanya.

Ahmed yang terkandas, telah disenaraihitamkan kerana menetap lebih masa di Malaysia bagaimanapun dibenarkan memasuki negara ini menggunakan pas khas selama 30 hari sementara kes tersebut dikaji oleh Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, Alias berkata, bukan amalan bagi Imigresen untuk membenarkan orang yang melakukan kesalahan di negara ini memasuki negara begitu mudah kerana kedaulatan negara dan integriti undang-undang perlu dihormati.

“Ia hanya berdasarkan ‘case by case basis’ yang dikaji berasaskan kepada kekuatan justifikasi dalam menentukan keputusan untuk memberikan pengecualian itu.

“Pemberian pas khas kepada warga Palestin itu adalah kes yang pertama seumpamanya dengan mempertimbangkan atas dasar kemanusiaan berikutan pergolakan yang berlaku di negaranya,” katanya.

Menurut Alias, adalah tanggungjawab bagi pihak kedutaan negara mereka di Malaysia untuk menyelesaikan masalah rakyatnya yang terkandas di negara ini.

“(Tanggungjawab) ini bukan Jabatan Imigresen. Pihak kedutaan sepatutnya mencari penyelesaian untuk membantu membawa mereka pulang ke negara mereka,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan