Nik Aziz Seru Calon BN Undi PAS, Masuk Syurga

Diterbitkan: Jumaat, 19 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut digesa supaya menolak calon Barisan Nasional (BN) daripada Umno kerana parti itu didakwa tidak memperjuangkan ajaran Islam.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa, perjuangan Umno di atas semangat kebangsaan untuk membela bangsa Melayu tidak akan membawa ke syurga.

"Umno tolak Islam...ambil (semangat) kebangsaan. Parti mereka pun guna bahasa Inggeris...tapi nak bela orang Melayu.

"Bela bangsa Melayu boleh bawa bekal ke akhirat? Adakah di akhirat nanti bila ditanya...kamu bangsa apa? Melayu...haa boleh masuk syurga. Senang la macam tu.

"Bangsa tidak boleh buat apa-apa di akhirat, sebab itu Nabi Muhammad SAW bukan pembela bangsa Arab tapi pembela Islam," katanya ketika berceramah di Kampung Beris Pak Abu di sini, Khamis malam.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu juga dilihat mengingkari janji PAS untuk berkempen secara sihat dan berhemah khususnya ketika Ramadan apabila menuduh parti lawan dengan pelbagai dakwaan.

Katanya Umno merosakkan pemikiran rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk masjid hingga menyebabkan umat Islam menjadi kedekut.

"Umno suruh buat masjid, tapi mereka sendiri tidak sembahyang. Mereka hanya nak dapatkan kontrak buat masjid sahaja.

"Kenapa saya kata tidak akan buat masjid? kerana Umno khianat kepada otak orang Kelantan. Mereka buat banyak masjid, surau. Akhirnya orang Kelantan menjadi kedekut.

"Cari duit hanya buat rumah, beli tanah, beli kereta...masjid tak buat. Ini satu kecelakaan yang menimpa," katanya.

Menerusi ceramahnya Nik Aziz turut menggesa pengundi termasuk calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman supaya mengundi PAS.

"Tolonglah...bukan sahaja orang PAS, tapi saya nak minta calon Umno sendiri undi PAS.

"Apa yang tak kena dengan PAS? PAS sebut tentang Islam...yang tolak Islam bukan Cina, tapi Umno yang menolak Islam," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan