Program Talent Corp Bawa Pulangan Positif - Wahid

Diterbitkan: Khamis, 18 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelaburan kerajaan dalam program Talent Corp membawa pulangan positif apabila ia berjaya menarik 2,105 warganegara yang bekerja di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar memberitahu persidangan Dewan Rakyat pada Khamis, RM65 juta telah diperuntukkan untuk program itu sejak ia dilancarkan pada 2011, iaitu sebanyak RM30 juta diperuntukkan pada 2011, RM20 juta pada 2012 dan selebihnya untuk tahun ini.

Beliau berkata peruntukan itu merupakan geran pelancaran bagi menampung kos operasi termasuk perbelanjaan emolumen, kos permulaan penubuhan serta kos pejabat Talent Corp.

"Program Talent Corp adalah efektif. It's a money worth spent," katanya menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) yang telah meminta Perdana Menteri memberi statistik mengenai program tersebut.

Wahid berkata program itu telah berjaya menarik 680 peserta pada tahun 2011, 923 peserta (2012) dan 502 peserta sehingga Jun tahun ini.

Katanya majoriti peserta Talent Corp adalah berumur 30 tahun ke atas, dan 75 peratus adalah lelaki.

"Enam puluh peratus peserta Talent Corp adalah kaum Cina, 30 peratus adalah Bumiputera dan 10 peratus kaum India dan lain-lain," katanya.

Sepuluh negara dari mana peserta ini telah kembali ialah Singapura, United Kingdom, China, Australia, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi, Hong Kong dan Ireland.

Katanya, peserta program dikehendaki bekerja sekurang-kurangnya lima tahun di Malaysia.

Bagaimanapun, Wahid tidak menjelaskan kategori kemahiran bidang mereka serta tidak menghuraikan pulangan positif yang dimaksudkan.

Dalam satu kenyataan, Talent Corp menjelaskan bahawa kos operasi RM65 juta yang diperuntukkan itu digunakan untuk membangunkan program dan memupuk bakat, sama ada mereka adalah rakyat Malaysia di Malaysia, rakyat Malaysia di luar negara atau bakat asing.

"Ia bukan hanya bagi Program Kepulangan Pakar," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu selanjutnya menjelaskan Talent Corp melaksanakan program peningkatan kemahiran bagi mahasiswa tempatan, menyokong pameran kerjaya bagi rakyat Malaysia di luar negara dan mempermudahkan bakat terkemuka asing menerusi inisiatif 'Residence Pass-Talent'. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan