Polis KL Mulakan Siasatan Terhadap Blogger Seks

Diterbitkan: Rabu, 17 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur membuka kertas siasatan terhadap pasangan penulis blog seks, Alvin Tan dan Vivian Lee.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pasangan yang mencipta kontroversi dengan memuat naik sekeping gambar mereka sedang menikmati hidangan bak kut teh (sup tulang babi) dengan kapsyen Selamat Berbuka Puasa itu disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Ku berkata usaha menghubungi pasangan blogger berkenaan tidak berjaya, selepas kedua-dua mereka tidak menjawab panggilan telefon ketika dihubugi.

"Kedua-dua mereka perlu hadir bagi membantu siasatan. Namun saya dimaklumkan mereka telah menghubungi pegawai penyiasat di Negeri Sembilan.

"Mereka berkata akan hadir di ibu pejabat polis Bukit Aman dengan peguam mereka," katanya kepada pmberita pada sidang media di ibu pejabat polis Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut pada Rabu.

Difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melengkapkan siasatan terhadap pasangan blogger berkenaan sebaik sahaja mereka selesai menemu bual beberapa individu yang berkaitan dengan kes tersebut.

Menurut sumber, SKMM akan bercakap dengan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan kes Alvin dan Vivian.

Pada Isnin, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Industri Pengawasan SKMM, Zulkarnain Mohd Yassin berkata suruhanjaya berkenaan mahu menyelesaikan siasatan mereka segera kerana ia melibatkan kepentingan orang awam.

Zulkarnain berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Sekiranya dikenakan tindakan, Alvin dan Vivian boleh didakwa atas kesalahan memaparkan gambar dan kata-kata yang menjelikkan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Jika sabit kesalahan pasangan terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan