Akta Keharmonian Nasional Tidak Jejas Kuasa Kerajaan Jaga Perpaduan - PM

Diterbitkan: Rabu, 17 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Akta Keharmonian Nasional yang sedang diusahakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warganegaranya, ia tidak boleh disalah guna sehingga menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

"Tindakan biadap dan kurang ajar pasangan muda yang menghina agama Islam (baru-baru ini) menunjukkan kebebasan bersuara dan pendapat yang tidak bertanggunjawab, boleh memudaratkan masyarakat," kata pada sidang media di pejabatnya di sini, Rabu.

Pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee dikecam ramai kerana mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan apabila memuat naik gambar mereka menikmati bak kut teh (sup tulang babi) berserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan bahawa peruntukan akta baharu itu akan mengekalkan tiga prinsip utama dalam menangani perbuatan yang mendatangkan kebencian dan penghinaan kepada institusi-institusi dan peruntukan perlembagaan sedia ada.

Katanya prinsip pertama merujuk kepada soal menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perbuatan yang tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.

"Kedua, bagi menangani perbuatan dan perlakuan yang mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan dalam negara," katanya.

Najib berkata prinsip ketiga pula merujuk kepada soal menangani perbuatan dan perlakuan yang mempersoal apa-apa perkara mengenai hak taraf kedudukan keistimewaan kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan bahagian tiga Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 153, 151 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga-tiga perkara itu antaranya menyentuh kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, sekatan ke atas tahanan pencegahan dan kedaulatan Raja-Raja.

Beliau berkata pada pandangannya negara perlu menentukan prinsip-prinsip yang dapat menjaga kepentingan negara termasuk soal keharmonian hubungan antara kaum dan juga dari segi kedudukan agama.

"Ini bukan soal agama Islam sahaja tapi juga melibatkan semua kaum, sensiviti semua kaum dan agama. Kita akan berlaku adil, tapi prinsipnya kita tidak boleh menghina agama, tak boleh bakar perasaan membenci antara kaum.

"Sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan tegas, ia boleh merosakkan 'tiang seri negara' kita yakni perpaduan nasional dan keharmonian negara. Kita mesti bertegas dalam hal ini. Saya selalu tegaskan bahawa prinsipnya ialah prinsip kebebasan tapi dilengkapi dengan prinsip kebertanggungjawaban," tambahnya.

"Kebebasan dengan tanggungjawab, tidak boleh ada kebebasan mutlak sehingga mengorbankan kepentingan negara dan keharmonian nasional. Inilah pendirian jelas kerajaan, (yang) kita akan pegang," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan