RCI Diberitahu Kesungguhan Politik Penting Untuk Banteras Pendatang Asing Tanpa Izin Di Sabah

Diterbitkan: Selasa, 16 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah hari ini diberitahu bahawa kesungguhan politik amat diperlukan untuk mengatasi masalah itu.

Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir berkata dari 2001 hingga 2003, ketua menteri Sabah ketika itu Tan Sri Chong Kah Kiat melancarkan gerakan secara besar-besaran untuk membanteras pendatang tanpa izin, tetapi usaha ini kurang diberi tumpuan apabila beliau meninggalkan jawatan itu.

"Setiap seorang daripada kita perlu bertanggungjawab untuk menangani isu pendatang tanpa izin dan perkara ini memerlukan kesungguhan politik yang mendalam, seperti yang dilakukan Tan Sri Chong. Saya berpendapat, kita sudah kehilangan momentum dalam hal ini dan oleh itu, perlu memulakannya kembali," katanya.

Zulkifli memberitahu siasatan itu beliau menyedari bahawa Lahad Datu begitu terdedah kepada bahaya apabila Kampung Tandou di daerah itu diceroboh kumpulan dikenali sebagai Tentera Diraja Sulu pada Februari tahun ini.

Katanya sejak sekian lama, Kampung Tanduo menjadi pilihan orang dari selatan Filipina untuk memasuki Sabah kerana ia terletak begitu hampir dengan negara itu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Semporna Abdul Mohamed Ibnu Abdul Kadir Baba berkata pejabat daerah itu tidak mempunyai pegawai penguatkuasa yang mencukupi untuk membolehkannya melancarkan operasi dengan lebih kerap, terutama di kawasan setinggan.

Oleh itu, katanya, ia terpaksa bergantung pada operasi bersepadu yang disertai agensi penguatkuasaan lain dari semasa ke semasa.

Pegawai daerah itu juga berkata pejabatnya tidak mampu mengawal kemunculan kawasan setinggan di daerah berkenaan kerana menghadapi pelbagai kekangan, termasuk dari segi kewangan dan anggota.

Katanya oleh kerana kawasan setinggan yang dipenuhi pendatang tanpa izin turut didiami rakyat tempatan, maka mereka (rakyat tempatan) boleh merayu kepada ahli politik supaya tidak merobohkan kawasan itu.

Siasatan itu, yang dipengerusikan bekas hakim besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan