Pelarian Jadi Mangsa Sindiket Penipuan Antarabangsa

Diterbitkan: Selasa, 16 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khaled menunjukkan gambar Rakhman yang diambil menerusi telefon bimbitnya.
Khaled menunjukkan gambar Rakhman yang diambil menerusi telefon bimbitnya.

KUALA LUMPUR:Pelarian dari negara yang sedang bergolak menjadi mangsa penipuan sindiket antarabangsa yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pangkalan mereka.

Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush berkata sindiket tersebut menyalahgunakan sifat baik hati yang ditunjukkan kerajaan dalam membenarkan masyarakat Islam untuk memasuki negara ini tanpa menggunakan visa.

"Terdapat kumpulan berbentuk Mafia yang mengambil peluang terhadap individu yang terdesak bukan saja warga Palestin dengan menjanjikan dokumen perjalanan dan visa bagi membolehkan mereka memasuki mana-mana negara pilihan mereka.

"Kami sering memberi amaran kepada rakyat kami mengenai sindiket penipuan itu dan menasihati mereka supaya tidak menjadi mangsa," katanya kepada The Star.

Beliau berkata, sindiket tersebut menggunakan pelbagai cara untuk menipu pelarian termasuk laman web dengan menawarkan dokumen perjalanan dan cara pembayaran.

"Terdapat juga kes individu yang menyedari mereka akan mendapat dokumen palsu tetapi masih meneruskannya kerana terdesak. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka yang ditipu tetapi kami tidak dapat membantu mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa," katanya.

Abdelaziz turut mengambil contoh kes guru warga Syria, Khaled Ali dan keluarganya yang terkandas di ruang transit Klia selepas ditipu bahawa mereka boleh mendapatkan pasport untuk memasuki Sweden.

Khaled berkata seorang lelaki berusia 50 tahun yang dikenali sebagai Abdul Rakhman Salekh meminta AS$9,500 (RM28,500) untuk mendapatkan pasport dan tiket penerbagan bagi keluarga tersebut untuk berlepas ke Moscow dari Kuala Lumpur.

"Saya mengambil tawaran tersebut kerana ingin memberi rawatan terbaik kepada anak lelaki saya yang berusia 11 tahun yang tidak dapat bercakap dan berjalan di sebuah hospital di Stockholm," katanya.

Khaled berkata lelaki tersebut meyakinkan keluarganya bahawa mereka akan mendapatkan pasport baru sebaik tiba di KLIA dari seorang lelaki yang menunggu mereka di sini.

"Rakhman berlepas dengan kami dari Moscow ke Abu Dhabi menggunakan penerbangan Etihad pada 2 Julai lalu. Sebaik tiba, dia meminta saya untuk menyerahkan pasport kami kepadanya.

"Saya menyerahkan pasport tersebut kerana dia akan membantu kami untuk mendapatkan pasport Sweden yang baharu sebaik saja tiba di KLIA," katanya.

Khaled berkata, sebaik saja keluarganya tiba di KLIA, Rakhman sudah menghilangkan diri.

Dia kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pegawai keselamatan KLIA yang menyemak senarai penumpang dan tidak menjumpai nama Rakhman dalam penerbangan tersebut.

Khaled berkata dia ternampak empat lagi pasport dibawa oleh lelaki tersebut yang mengandungi gambarnya tetapi menggunakan nama berbeza.

"Saya cuba menghubunginya menerusi nombor telefon bimbit di Rusia, Ukraine dan Estonia tetapi tidak berjawab. Saya tidak meraguinya kerana mengenai Rakhman selama setahun dan dia kelihatan seperti seseorang yang jujur kerana mengatur perjalanan jemaah haji," katanya.

Khaled berkata Rakhman berasal dari Syria tetapi menetap di Moscow selama 25 tahun dan dia turut mengenali ahli keluarganya.

Tambahnya, kedutaan Syria di Kuala Lumpur memberitahu proses untuk mendapatkan pasport baru untuk dia dan keluarganya mungkin mengambil masa selama enam bulan.

"Saya tidak tahu apa yang patut dilakukan sekarang. Saya amat bimbang kerana anak lelaki saya tidak sihat dan memerlukan rawatan.

"Saya tinggal di hotel transit di KLIA selama dua hari atas belas ihsan seorang penyelamat. Saya tidak tahu apa yang patut dilakukan sekarang kerana kami tidak boleh memasuki Malaysia tanpa pasport," katanya.

Seorang pegawai dari Jabatan Imigresen merekodkan kenyataannya pada Isnin.

Difahamkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan pasport ditukar di ruang transit tersebut.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan