Pasangan Persenda Umat Islam Boleh Didakwa Mengikut Akta Hasutan

Diterbitkan: Selasa, 16 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGI: Pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee boleh didakwa mengikut banyak undang-undang termasuk Akta Hasutan akibat mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di laman sosial Facebook.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bagaimanapun beberapa pertimbangan perlu dibuat terlebih dahulu.

"Ia ada banyak undang-undang. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) punya undang-undang. Ada Akta Hasutan dan sebagainya. Jadi bergantung kepada undang-undang yang penaltinya dianggap terpakai.

"Tapi dalam menentukan untuk tuduhan itu dibuat kita terpaksa tengok dari segi undang-undang, fakta dan niat orang itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Mengenai Jenayah Siber: Cabaran Praktikal dan Trend Semasa di sini Selasa.

Pada Isnin, pasangan itu hadir di pejabat SKMM di ibu negara bagi memberi keterangan.

Pasangan itu didakwa memuat naik gambar mereka makan Bak Kut Teh beserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial berkenaan, baru-baru ini.

Pada Isnin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengenai kes Duta Vatican City ke Malaysia Biskop Joseph Marino yang menyokong penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian, Abdul Gani berkata siasatan boleh dilakukan terhadapnya meskipun mempunyai 'immunity' sebagai duta.

"Kalau dia buat salah sesiapa pun boleh diambil tindakan undang-undang. Tapi yang mustahak betul ke tidak dia ada buat salah.

"Siasatan pun boleh dijalankan kepada dia tapi bergantung kepada keadaan. Mungkin mereka mempunyai 'immunity' itu seperti yang diberikan kepada duta," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan