PAS Nafi Jentera Terengganu-Kelantan Berbalah

Diterbitkan: Selasa, 16 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut menolak khabar angin yang mendakwa wujudnya pergeseran antara jentera pilihan raya PAS Terengganu dan Kelantan.

Khabar angin itu bertiup ekoran ramai pihak mempersoalkan pelantikan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya parti itu di Kuala Besut.

Menurut Abdul Wahid, pelantikan pemimpin dari Kelantan itu dibuat oleh kepimpinan parti di peringkat pusat.

"Beliau (Husam) adalah pilihan yang baik berdasarkan pengalaman kepimpinannya.

"Berbanding rasa terancam, kami sebenarnya mengalu-alukan jentera dari Kelantan membantu di Kuala Besut dengan tangan terbuka," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Abdul Wahid, kerjasama jentera kedua-dua negeri yang berjiran ini adalah sangat penting bagi memenangkan parti.

"Pilihan raya ini penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan kerajaan negeri.

"Sebab itu kami bawa 'senjata besar' dari Kelantan untuk membantu," katanya.

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menyaksikan saingan dua penjuru antara PAS dan Barisan Nasional (BN).

PAS diwakili seorang kontraktor, Endut Azlan @ Yusof manakala BN mewakilkan Tengku Zaihan Che Abd Rahman yang juga seorang jurutera awam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan