'Little India' Di Seluruh Negara Tutup Premis Sehari Bantah Karnival Peniaga Asing

Diterbitkan: Selasa, 16 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Para peniaga di 'Little India' Klang melakukan protes terhadap peniaga-peniaga haram serta perniagaan oleh warga asing dengan menutup perniagaan mereka sambil meletakkan 'bunting' tanda protes. -fotoBERNAMA
Para peniaga di 'Little India' Klang melakukan protes terhadap peniaga-peniaga haram serta perniagaan oleh warga asing dengan menutup perniagaan mereka sambil meletakkan 'bunting' tanda protes. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Peniaga 'Little India' di seluruh negara pada Selasa bersepakat menutup premis perniagaan masing-masing selama sehari sebagai membantah penganjuran karnival beli-belah tahunan peniaga asing dari subbenua India.

Lebih 650 peniaga Little India di Brickfields, Klang dan George Town, mengetuai rakan sejawat di Lebuh Ampang, Sungai Petani, Melaka dan Johor Baharu menyuarakan bantahan terhadap karnival itu yang menawarkan pelbagai barangan dari India, Pakistan dan Bangladesh.

Little India di Brickfields pada Selasa bertukar senario berbanding hiruk-pikuk hari biasa apabila kira-kira 250 pemilik kedai termasuk peniaga sari dan tekstil, kedai runcit, pembekal barangan runcit, restoran India, kedai cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD), barang kemas serta pemborong menutup premis mereka.

"Kita telah buat banyak aduan mengenai karnival ini sejak beberapa tahun tetapi tiada tindakan diambil.

"Kami mahu pihak berkuasa menghentikan karnival ini untuk menyelamatkan peniaga tempatan daripada mengalami kerugian berterusan," kata Presiden Persatuan Komuniti Perniagaan Brickfields Senator Datuk V. Subramaniam pada sidang media di sini.

Beliau berkata karnival anjuran sebuah syarikat tempatan itu diadakan di setiap negeri sejak enam tahun lepas, dan karnival seterusnya di Pulau Pinang pada Ogos.

Beliau juga mendakwa kebanyakan barangan yang ditawarkan itu tidak tertakluk kepada duti import dan berkualiti rendah.

Sementara itu, pengusaha kedai tekstil dan pakaian tradisional India yang telah 10 tahun menjalankan perniagaan di Brickfields hanya mahu dikenali sebagai Vijayan, 48, berkata: "Sudah enam tahun kami mengalami kerugian tetapi tiada apa-apa tindakan diambil."

Seorang lagi peniaga, Ravi Kumarasamy Anjan, 50, berkata: "Pada tahun pertama karnival diadakan, kami semua boleh terima tetapi sekarang sudah masuk enam tahun...semua ini menjejaskan kami. Peniaga di sini perlu menanggung kos operasi yang tinggi," katanya yang perlu membayar sewa kedai RM18,000 sebulan.

Di KLANG, 280 peniaga termasuk pengusaha restoran, barangan kemas dan tekstil di Little India, Jalan Tengku Kelana juga menyertai bantahan itu.

Setiausaha Pertubuhan Peniaga Tekstil dan Barang-barang Am India Malaysia (Mita) R. Maheswary memberitahu pemberita, beliau telah membuat aduan berhubung perkara itu kepada pihak berkuasa tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.

"Pada sambutan Deepavali lepas, perniagaan di Brickfields merosot kira-kira 70 peratus daripada jualan biasa manakala peniaga di Klang kerugian sekitar 50 peratus," katanya.

Beliau mendakwa peniaga asing berkenaan meraih keuntungan besar sempena karnival itu kerana kos yang minimum dan menghantar wang ke negara mereka manakala peniaga tempatan perlu membayar cukai, sewa, pinjaman, bil utiliti dan kos overhed.

Di GEORGE TOWN, 140 premis perniagaan di Little India juga menyertai bantahan itu khususnya terhadap penganjuran karnival itu yang dijadual selama lima hari mulai 7 Ogos, di Pusat Arena Sukan Antarabangsa di Bayan Baru.

Menyifatkan penganjuran karnival itu sebagai persaingan tidak sihat, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Pulau Pinang (MICCI) N. Vasantharajan berkata: "Kami tidak kisah menanggung kerugian untuk sehari tetapi kita mahu semua pihak sedar bahawa karnival itu telah merompak pelanggan kami sejak 2009".

Lebih 200 peniaga dan pekerja mereka berhimpun dan berarak di sepanjang Lebuh King dan Lebuh Pasar sambil melaungkan kata-kata bantahan dan membawa sepanduk 'No to the Carnival' dan 'No to Illegal Foreign Traders'.

Pemilik kedai sari, M.P. Alagirisamy, 50-an berkata beliau terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit sepanjang dua minggu karnival itu berlangsung di Penang Time Square tahun lepas.

Sementara itu, anggota Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan menyiasat dakwaan peniaga di Little India dan jika benar ia menjejaskan perniagaan rakyat tempatan, kerajaan akan mencari kaedah untuk membantu mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan