KDN Cadang Rela Dijadikan Sebuah Jabatan - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Selasa, 16 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ahamd Zahid bersalaman dengan para pegawai Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) pada majlis berbuka puasa dan beramah mesra bersama warga RELA di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. -fotoBERNAMA
Ahamd Zahid bersalaman dengan para pegawai Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) pada majlis berbuka puasa dan beramah mesra bersama warga RELA di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan bagi meletakkan Rela sebagai sebuah jabatan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu lagi bertujuan memperkukuhkan lagi peranan agensi itu.

"Ia akan dilaksanakan tanpa sebarang peruntukan tambahan dan penambahan jawatan. Jadi agensi itu akan berfungsi lebih berkesan sebagai sebuah organisasi kesukarelawan yang dapat membantu pihak polis dan lain-lain agensi keselamatan menjaga ketenteraman awam.

"Rela juga akan diberi bekalan dan peralatan sesuai dengan tugasan mereka selain pakaian seragam ditukar kepada jenis celoreng digital," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota Rela di sini, Selasa.

Beliau berkata langkah itu juga dapat memberikan peluang kenaikan pangkat serta menggalakkan lagi penglibatan anggota Rela yang separa aktif dan tidak aktif terutamanya lepasan universiti.

"Rela juga diminta untuk mengklasifikasi tiga kategori bagi anggotanya iaitu aktif, separa aktif dan tidak aktif bagi membolehkan latihan tambahan diberikan kepada mereka yang separa dan tidak aktif," katanya.

Ahmad Zahid berkata, KDN juga akan menentukan setiap ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mendapat peruntukan, memberi bantuan sebanyak RM20,000 untuk menyediakan pakaian anggota Rela di kawasan Parlimen masing-masing.

Selain itu katanya, KDN memutuskan untuk melantik ahli-ahli Parlimen berkenaan dilantik sebagai ahli kehormat Rela.

Beliau berkata, kabinet juga telah memutuskan bahawa status pangkat Rela akan dibezakan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Nama-nama pangkat itu akan diumumkan kelak dan akan digazetkan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid bersependapat dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang menolak penahanan tanpa bicara (preventive detention) dalam sebarang undang-undang baru yang menggantikan Ordinan Darurat (EO).

Beliau berkata akhir-akhir ini, jenayah berat dan 'organized crime' seperti kes serangan senjata api telah meningkat berikutan bekas-bekas tahanan EO yang sepatutnya dipenjarakan telah dibebaskan sejak pemansuhan ordinan itu.

"Undang-undang yang menyerupai EO dengan hukuman yang sama berat tetapi ia mesti dibicarakan.

"Saya sependapat dengan Jabatan Peguam Negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata bekas-bekas tahanan EO yang kini berada di luar telah menggugat ketenteraman awam apabila merebut kawasan kawalan masing-masing dan menyebabkan berlakunya pertempuran. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan