Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Di Sabah, Sarawak Hingga Khamis

Diterbitkan: Selasa, 16 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) dijangka berterusan sehingga Khamis.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini, Selasa, angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Amaran ribut petir menyeluruh juga akan berlaku di kawasan perairan Perak, Terengganu, Sarawak (Bintulu dan Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (pedalaman, pantai barat dan Kudat) berterusan sehingga lewat petang Selasa.

Pada masa sama angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di kawasan perairan WP Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Khamis.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K.Ramin berkata, 12 laporan diterima mengenai kejadian pokok tumbang di Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang, Tuaran, Beaufort dan Kota Penyu sejak 10 pagi tadi.

Dalam pada itu, katanya sebanyak dua kereta rosak setelah dihempap sebatang pokok semasa hujan lebat berterusan di Centre Point dan Inanam pada 10.10 pagi tadi.

Menurutnya, tujuh anggota dengan sebuah jentera segera ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan kenderaan yang dihempap pokok itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan