Usul Anggaran Mengurus & Pembangunan Pengutukan Semula Perbelanjaan 3 Kementerian Dilulus

Diterbitkan: Isnin, 15 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul anggaran mengurus dan pembangunan penguntukan semula perbelanjaan membabitkan tiga kementerian yang disusun semula dengan keseluruhannya berjumlah kira-kira RM8.183 bilion.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee berkata usul yang dibahaskan mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat 66A Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan telah membentangkan usul itu yang menepati peruntukan Akta Perbekalan 2013.

Kementerian yang terlibat ialah Kementerian Pengajian Tinggi yang digabungkan dengan Kementerian Pelajaran yang kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan; fungsi dan agensi berkaitan kebudayaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia dipindahkan ke Kementerian Pelancongan dan kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Ia juga membabitkan fungsi dan agensi kesejahteraan bandar di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang kini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan dipindahkan ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang kini dikenali sebagai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Semua kementerian yang disusun semula itu berkuatkuasa 16 Mei lepas.

Persidangan Dewan bersambung esok. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan