Perbezaan Politik Tidak Seharusnya Bawa Konflik Keterlaluan - PM

Diterbitkan: Isnin, 15 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan kepada warga emas pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan Umno Selangor dan masyarakat di Masjid Jamiur Ridhuan, Jeram di Hulu Selangor pada malam Ahad. -Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan kepada warga emas pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan Umno Selangor dan masyarakat di Masjid Jamiur Ridhuan, Jeram di Hulu Selangor pada malam Ahad. -Foto BERNAMA

KUALA SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata biarpun ada perbezaan politik dan pendapat di kalangan umat Islam di Malaysia, ia tidak seharusnya membawa kepada konflik yang keterlaluan.

"Sebaliknya kita cari titik pertemuan agar umat Islam dan Islam itu sendiri tidak tergugat dan kita dapat majukan bumi Malaysia ini kepada masa depan yang jauh lebih baik lagi," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan Umno Selangor dan masyarakat setempat di Masjid Jamiuridhuan, Simpang Empat Jeram di sini malam Ahad.

Beliau berkata Malaysia menolak fahaman ekstremis dan fanatik serta mereka yang hendak melakukan kerosakan di bumi Allah ini dan sebaliknya mengamalkan kesederhanaan dan jalan tengah yang dilihat pendekatan terbaik untuk negara dan Islam.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mengamalkan dasar inklusif, yang menghimpunkan mereka yang beragama Islam dan bukan beragama Islam di bawah satu pentadbiran yang adil dan saksama.

"Satu daripada sebab Malaysia aman damai dan harmoni bukanlah macam negara yang terlibat dalam pergolakan di Afrika Utara dan Timur Tengah kerana kita amalkan dasar-dasar kesederhanaan, kerana jalan tengah...sederhana jalan sebaik-baiknya mengikut Islam," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir negara sebaik-baiknya supaya pembangunan secara holistik atau menyeluruh seperti dituntut Islam dapat dilaksanakan.

Najib berkata sebagai menghargai mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan BN pimpinan Umno, syiar Islam akan terus dipertingkatkan, akidah dan kesucian Islam termasuk kalimah Allah dipertahankan.

"Kita akan menyediakan lebih banyak peluang dari segi pendidikan termasuk pendidikan Islam, tempat ibadat seluruh negara kita akan tambah dan sediakan kemudahan lebih selesa," katanya.

Selain itu, sebagai menghargai anggota jawatankuasa surau dan masjid di seluruh negara, Najib berkata mereka akan diberikan sumbangan kain pelikat, kain jubah, telekung, air zam-zam.

Pada malam ini, Najib menyampaikan sumbangan berkenaan kepada ketua-ketua bahagian Umno di Selangor untuk diagihkan kepada anggota jawatankuasa masjid dan surau di seluruh Selangor.

Beliau turut meluluskan permintaan jawatankuasa masjid itu bagi mendirikan sebuah dewan serbaguna untuk orang ramai.

Pada malam Ahad, Najib bersama kepimpinan Umno Selangor berbuka puasa bersama lebih 2,000 hadirin selain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

Perdana Menteri yang mengenakan baju Melayu hijau muda, berkain pelikat hijau tua dan bersongkok hitam turut meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah selepas selesai solat.

Najib berkata antara sebab Jeram dipilih sebagai tempat pertama beliau berbuka puasa di Selangor ialah kerana sokongan padu pengundi di sini yang memberikan kemenangan kepada kesemua dua kerusi dewan undangan negeri, iaitu Bukit Melawati dan Jeram di bawah parlimen Kuala Selangor yang turut dimenangi BN.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukur Idrus, Ketua Bahagian Umno Selangor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Datuk Amiruddin Setro, Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim, Adun Bukit Melawati Jakiran Jacoma dan anak lelaki Najib, Norashman Razak.

- BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan