Kenaikan Harga Makanan Ayam Dorong Kenaikan Harga Ayam di Pasaran

Diterbitkan: Isnin, 15 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan kenaikan harga makanan ayam menjadi punca harga ayam naik mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga makanan ayam yang diimport dari Australia dan Thailand meningkat dari semasa ke semasa.

"Sektor ternakan ayam negara di bawah seliaan kementerian selama ini tidak mengalami sebarang masalah malah negara mampu mengeksport ayam ke Singapura," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kementerian tersebut bersama Exco pertanian negeri di sini, Isnin.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya negara menghasilkan bekalan makanan ternakan sendiri bagi membantu menyelesaikan masalah itu pada masa akan datang.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sedang melaksanakan projek rintis dengan syarikat pengeluar makanan ternakan dari India untuk menghasilkan makanan ternakan berasaskan soya dan jagung.

"Projek rintis ini sedang dijalankan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan dijangka menghasilkan 20 tan metrik bekalan makanan ternakan tahun ini," katanya.

Beliau berkata jika projek ini berjaya, negara akan meminimumkan import bekalan makanan ternakan antaranya lembu, ayam, ikan patin dan kambing.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengajak 1.4 juta penjawat awam memboikot ayam supaya pembekal dapat menurunkan semula harga pasaran ayam kepada kadar berpatutan.

"Kenaikan harga ayam sehingga RM9.50 sekilogram setakat ini, melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80 sekilogram adalah keterlaluan dan alasan menaikkan harga kerana bulan Ramadan dan hari raya sangat tidak munasabah," kata Presidennya Datuk Omar Osman pada sidang media di sini.

Selain itu, katanya skuad pengguna Cuepacs seramai 45,000 orang akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memantau harga barang basah dan kering di pasaran bagi membendung masalah kenaikan harga.

Dalam pada itu, Cuepacs sekali lagi memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada penjawat awam tahun ini dengan setengah bulan bonus diberikan sebelum menjelang Hari Raya agar dapat membantu meringkan beban berikutan kenaikan harga barangan pada masa kini.

Tinjauan Bernama di beberapa negeri pula mendapati harga ayam dan barang basah yang lain masih terkawal walaupun ada sedikit peningkatan harga berikutan permintaan tinggi di pasaran.

Di MELAKA, tinjauan di Pasar Besar Melaka Sentral mendapati harga ayam antara RM8.40 hingga RM8.50 sekilogram manakala ikan kembong (RM10 hingga RM11 sekilogram), cencaru (RM8 hingga RM9 sekilogram), pari (RM12.50 hingga RM15 sekilogram), sotong (RM10 hingga RM22 sekilogram) dan udang (RM15 hingga RM20 sekilogram).

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Melaka Muhabir Ibrahim berkata harga ayam masih terkawal dan pihaknya melakukan pemantauan harga setiap hari di semua pasar bagi memastikan harga yang dikenakan tidak membebankan pembeli.

Di KUALA TERENGGANU, harga ayam masih terkawal dan mengikut purata harga seluruh negara dan sehingga kini PDNKK negeri belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang terutama ayam.

Pengarah Pejabat PDNKK Terengganu Syamsul Badrein Mohshin berkata pihaknya telah menggerakkan kesemua 81 anggota penguatkuasa di Besut, Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman untuk memantau paras harga barangan sepanjang Ramadan dan Syawal nanti.

Di ibu negara, harga ayam masih terkawal iaitu dijual antara RM7.50 sehingga RM8 sekilogram, manakala daging import antara RM14.50 sehingga RM16.50 sekilogram dan daging tempatan RM26 sekilogram.

Suri rumah Asmirawati Abdullah, 31, meminta peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan keperluan sewenang-wenangnya menjelang Aidilfitri agar tidak membebankan umat Islam.

Bagaimanapun, harga barang keperluan lain seperti timun, terung, tomato, kacang panjang, kubis dan cili merah tidak menentu kerana dipengaruhi faktor seperti iklim, kesegaran dan harga yang ditawarkan pembekal.

Di KOTA BAHARU, harga daging lembu meningkat secara mendadak kepada RM25 sekilogram berbanding antara RM18 hingga RM22 sekilogram sebelum Ramadan berikutan permintaan tinggi. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan