Palanivel Pengerusi MIC Kedah Mulai Sabtu

Diterbitkan: Sabtu, 13 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Palanivel.
Palanivel.

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel akan mengambil alih jawatan Pengerusi MIC Kedah mulai Sabtu bagi memperkukuhkan lagi parti, di negeri itu.

Dalam kenyataan di sini Jumaat, Palanivel berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan MIC bahagian secara tetap sekurang-kurangnya dua kali sebulan, untuk memahami dan menyelesaikan isu di sana.

Sabtu, beliau dijangka memulakan lawatan ke Kedah untuk bertemu Pengerusi Cawangan dan Bahagian dari Merbok, Jerai dan Sungai Petani dan mengadakan mesyuarat tetap dengan mereka.

"MIC Kedah perlu bergerak ke hadapan. Saya membuat keputusan (untuk mengambil alih sebagai Pengerusi Kedah) bertujuan mengukuhkan asas parti di negeri itu," kata Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Difahamkan pengambilalihan kepimpinan didorong oleh aduan daripada beberapa pengerusi MIC di negeri itu, berikutan pelbagai masalah yang dihadapi kepimpinan.

Mengenai status Pengerusi MIC Kedah S. Ananthan dan jawatan lain, Palanivel berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MIC Kedah M.L Maran mengalu-alukan keputusan Palanivel dan berharap ia akan membawa perubahan positif dalam penjenamaan semula MIC negeri.

"Ia penting untuk mengukuhkan kedudukan MIC di Kedah. Pengambilan beliau akan lebih membantu dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat India dan mengembalikan amanah rakyat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Maran mengucapkan terima kasih kepada Ananthan atas sumbangan beliau kepada parti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan