Jenazah Abu Zahar Selamat Dikebumikan Di Makam Pahlawan

Diterbitkan: Sabtu, 13 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Jenazah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin selamat dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Al-Azim di sini, pagi Sabtu.

Jenazah Allahyarham dibawa dari kediamannya di Merlimau Pasir, Jasin dan disolatkan di masjid berkenaan sebelum dikebumikan pada 11.30 pagi.

Antara yang hadir bersama kira-kira 500 rakyat Melaka ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim serta Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Abu Zahar, 74, meninggal dunia di kediamannya akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang kira-kira 6 petang semalam. Allahyarham merupakan ketua menteri kelapan dan menjawat jawatan itu dari 23 Mei 1997 hingga 2 Disember 1999.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri dengan persetujuan anggota keluarga Abu Zahar mengadakan pengebumian di Makam Pahlawan bagi menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham terhadap negeri Melaka.

Beliau berkata Allahyarham dikenali sebagai seorang yang mudah mesra, suka berjenaka namun tegas dalam menunaikan tanggungjawab.

"Ketika menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Allahyarham pernah membawa sarung tinju untuk dihadiahkan kepada wakil kerajaan atau pembangkang sekiranya mereka bergaduh," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Anak Allahyarham yang juga pelakon terkenal, Khaidhirah, 29, berkata beliau reda dengan pemergian ayahnya pada bulan Ramadan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata ayahnya dimasukkan ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur kira-kira sebulan lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka pada 8 Julai.

Kata anak bongsu daripada enam beradik itu arwah bapanya kemudian dibawa pulang ke rumah pada Khamis lepas sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi anggota keluarga petang semalam. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan