2,333 Cawangan Umno Selangor Dijadual Bermesyuarat Mulai Isnin Ini

Diterbitkan: Sabtu, 13 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sejumlah 2,333 cawangan Umno di seluruh Selangor dijadual mengadakan mesyuarat mulai Isnin ini sehingga 31 Ogos depan, kata Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukur Idrus.

Beliau berkata semua cawangan itu diberi kelonggaran mengadakan mesyuarat masing-masing dalam bulan Ramadan atau Syawal.

Umno Selangor juga memperuntukkan RM250 bagi setiap cawangan untuk mengadakan mesyuarat itu dan terpulang kepada Bahagian masing-masing untuk menambah peruntukan itu, katanya kepada Bernama, Sabtu.

Selain itu, katanya cawangan Umno juga diminta memaklumkan pihak bahagian tarikh mereka akan bermesyuarat supaya wakil bahagian dapat memantau dan melaporkan perjalanan mesyuarat di cawangan masing-masing.

Abdul Shukur juga berkata pada tahun ini, pemilihan pimpinan di peringkat cawangan akan diadakan.

Badan Perhubungan Umno Selangor kini giat turun ke bahagian-bahagian bagi memberi taklimat mengenai tatacara pemilihan Umno yang baharu iaitu pemilihan anggota Majlis Tertinggi pada tahun ini dilakukan secara terus oleh 146,500 perwakilan di 191 bahagian masing-masing.

Pemilihan parti menggunakan sistem baharu itu susulan pindaan perlembagaan Umno pada Oktober 2009. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan