SPR Tidak Cadang Dedah Pembekal Dakwat Kekal - Shahidan - Berita Semasa | mStar

SPR Tidak Cadang Dedah Pembekal Dakwat Kekal - Shahidan

Diterbitkan: Jumaat, 12 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bercadang untuk mendedahkan syarikat pembekal dakwat kekal buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, ini bagi menggelak sebarang penyalahgunaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, warna dakwat yang diguna juga tidak diketahui oleh mana-mana pihak sehingga hari mengundi.

"Kalau kita bagitau siapa syarikat yang membekal dakwat, nanti semua orang pergi beli dakwat, (dan pada masa pilihan raya) celup jari dan berbaris. Cakap dia dah celup jari mahu minta kertas undi sahaja. Ini soal keselamatan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Khamis.

Mengenai dakwaan bahawa dakwat kekal itu tidak kekal, beliau berkata pihak berkuasa hanya menerima 1,469 aduan atau hanya 0.0113 peratus daripada 13 juta pengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

"Saya mengesyaki ada pihak yang berniat jahat dengan menyapu bahan-bahan kimia lain ke atas jari mereka untuk menghilangkan kesan dakwat itu," katanya.

Shahidan berkata pada pilihan raya umum yang lalu, kerajaan telah membelanjakan RM7.1 juta untuk pembelian dakwat kekal termasuk botol, berus, kotak, dakwat dan adunan warna yang tidak terdapat dalam pasaran.

Mengenai hal lain, beliau berkata kerajaan sedia menimbang semula cadangan untuk menaikkan elaun para Anggota Parlimen jika perkara itu dibawa ke Parlimen sekali lagi.

Bagaimanapun, katanya cadangan itu perlu dipersetujui oleh semua anggota Parlimen. Usul menaikkan elaun Anggota Parlimen dikemukakan di Parlimen pada 2011 tetapi ia telah ditolak oleh beberapa orang anggota dari pembangkang.

Katanya, menyedari bebanan tugas yang ditanggung Anggota Parlimen, kerajaan juga telah menyediakan lima orang pegawai penyelidik untuk membantu setiap Anggota Parlimen. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Isnin, 11 Jun 2018 8:00 AM

Ramadan anak Chow Kit

Kolumnis

iklan

Iklan