PM Umum Penubuhan Panel Penasihat Perniagaan PKS

Diterbitkan: Jumaat, 12 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan penubuhan Panel Penasihat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memberi input berkaitan sektor itu dan strategi keusahawanan dalam mewujudkan syarikat bertaraf dunia.

Perdana Menteri berkata, pengumuman penubuhan Panel itu adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

"Panel ini akan terdiri daripada usahawan yang terbukti kejayaannya dan tidak semestinya mereka yang terkenal tetapi mempunyai rekod prestasi yang baik serta berkebolehan dan mempunyai masa untuk menyumbang kepada perjalanan panel penasihat ini," katanya.

Ahli Panel itu akan dibentuk juga daripada kalangan mereka dari luar negara, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan di sini Khamis.

"Panel ini akan dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan saya juga telah menyatakan kesanggupan untuk menerima dan mendengar laporan mereka dari masa ke semasa," katanya.

Menurut Perdana Menteri, penubuhan Panel itu adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Sebanyak 155 program telah dirancang dengan komitmen kewangan berjumlah RM18.4 bilion yang akan memberi manfaat kepada 467,838 PKS.

Perdana Menteri berkata, sesuai dengan kedudukan Malaysia yang pertama dalam memberi akses kepada pembiayaan, sektor PKS juga telah mendapat kelulusan keseluruhan kekal tinggi pada 88 peratus.

"Lebih daripada 56,000 permohonan berjumlah RM23.2 bilion telah diluluskan di bawah dana PKS Bank Negara Malaysia.

"Sehingga akhir bulan Mei 2013, sejumlah RM2.2 bilion masih belum diguna pakai oleh PKS," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan