Menteri Rayu Anggota Parlimen Tidak Sesekali Aibkan Negara

Diterbitkan: Jumaat, 12 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong yang berakhir tengah malam tadi, seorang menteri merayu kepada anggota Parlimen supaya tidak sekali-kali mengaibkan negara sendiri walaupun mempunyai perbezaan pendapat terhadap sesetengah perkara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar ketika itu menjawab perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri.

"Sebagai orang baharu (di Dewan Rakyat), saya ingin membuat dua rayuan. Pertama, walaupun mempunyai perbezaan pendapat, beri pendapat yang konstruktif. "Kedua, saya merayu walaupun terdapat perbezaan pendapat, jangan sekali-kali mengaibkan negara kita sendiri sebab saya sebagai bekas ketua pegawai eksekutif di syarikat multinasional, Kumpulan Telekom dan Maybank yang beroperasi di negara luar, apabila kita berjumpa rakyat negara lain, mereka tidak sesekali memburuk-burukkan negara mereka.

"Saya pohon, boleh mempunyai perbezaan pendapat tetapi jangan mengaibkan negara kita sendiri," katanya pada akhir penggulungannya pada persidangan Dewan Rakyat.

Selepas 24 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri menjawab perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan titah Diraja yang bermula Isnin lepas, Dewan Rakyat semalam meluluskan usul menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan persidangan Parlimen pada 25 Jun lepas.

Persidangan Dewan Rakyat minggu ini, yang berlangsung ketika umat Islam menjalani ibadah puasa bermula Rabu lepas, berakhir pada kira-kira 12 tengah malam apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluluskan usul itu selepas menyaksikan lebih suara menyokong berbanding membantah.

Perbahasan titah Diraja itu berlangsung selama enam hari bermula 26 Jun.

Pada Isnin lepas, tiga rang undang-undang yang dijadual dibacakan untuk kali kedua ditarik balik bagi tujuan memperkemaskannya dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

Tiga rang undang-undang itu ialah Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013, Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.

Minggu ketiga, mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 bagi penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong turut tidak ketinggalan menyaksikan berlaku pertikaman lidah antara anggota Parlimen selain wakil rakyat ditempelak kerana mempolitikkan sesuatu isu.

Pertikaman lidah itu berlaku antara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Gobind Singh (DAP-Puchong) selepas anggota pembangkang itu menuduh Ahmad Zahid tidak layak menjadi Menteri Dalam Negeri.

Kekecohan berlaku apabila Gobind mempersoal tindakan polis tidak menjalankan siasatan berhubung laporan polis mengenai dakwaan kejadian ugutan kekerasan membabitkan Ahmad Zahid kerana beliau adalah menteri.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menyangkal dakwaan Gobind dan menempelak wakil Puchong itu kerana membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat atas kepentingan peribadi.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri pula menempelak Laksamana (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang seperti tidak tahu langkah yang perlu dilakukan pihak berkuasa negara dalam menangani isu pencerobohan Lahad Datu sedangkan beliau pernah berkhidmat sebagai anggota keselamatan negara. Kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) turut mendapat perhatian pada persidangan Dewan Rakyat minggu ini apabila Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu kerajaan memperoleh semula RM79.9 juta daripada RM250 juta pinjamannya kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) bagi tujuan projek NFC.

Katanya kerajaan turut menyita harta NFC bernilai RM23.3 juta iaitu dua bidang tanah di Putrajaya, dua unit hartanah di Menerung Township Villa di sini dan tiga lot tanah di Gemas, Negeri Sembilan.

Kemelut NFC menjadi perhatian ramai sebelum ini selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhan, diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan