Atlet Wajib Jalani Ujian 'Breathalyzer' Elak Pengambilan Alkohol Pada Temasya Sukan - Khairy

Diterbitkan: Khamis, 11 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan mewajibkan setiap atlet menjalankan ujian ‘breathalyzer’ (ujian mengesan kandungan alcohol dalam badan) bagi memastikan mereka bebas daripada pengambilan sebarang minuman beralkohol ketika menyertai temasya sukan di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau akan mengarahkan Agensi Anti-Dopping Malaysia (Adamas) menjalankan ujian berkenaan secara rawak ke atas atlet.

“Kita akan wujudkan protokol baru ini bagi memastikan temasya sukan di negara ini bukan sahaja bebas daripada dadah malah minuman beralkohol,” katanya pada sesi pergulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang meminta penjelasan Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan insiden hitam, seorang pegawai pengiring dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga atlet bola baling daripada pasukan Wilayah Persekutuan ketika menyertai Sukan Malaysia (Sukma) yang berakhir minggu lalu tidak berulang kembali.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau memandang serius insiden yang berlaku dan sedang menunggu laporan penuh daripada Majlis Sukan Negara MSN) dalam isu tersebut.

“Sekiranya saya tidak berpuas hati dengan laporan MSN ini, saya akan mengarahkan pasukan ketiga yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan untuk melakukan siasatan yang menyeluruh dalam isu ini.

"Ingin ditegaskan di sini, pergaulan di perkampungan sukan, atlet diasingkan mengikut jantina. Dalam kes ini ia melibatkan pegawai pengiring daripada pasukan bola baling Wilayah Persekutuan.

“Mereka (atlet) berusia 19 tahun mereka diiring oleh pegawai berusia 20 tahun. Di situ teguran telah diberikan kepada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan yang tidak seharusnya meletakkan pegawai pengiring yang berusia hamper sebaya dengan atlet,” katanya.

Justeru, beliau telah meminta Majlis Sukan Negeri melihat semula usia pegawai pengiring yang ditugaskan mengiring atlet bagi mengelakkan risiko berulangnya kejadian sedemikian.

Pada pagi Khamis, tiga atlet bola baling Sukma - Adib Adha Ismail, 18, Megat Farzeril Faiz Megat Razali dan Mohammad Shaizzad Md Shafie, masing-masing 19, mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol seorang pengiring berumur 20 tahun.

Ketiga-tiga mereka didakwa merogol seorang gadis di sebuah bilik di Kolej Kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang pada kira-kira pukul 4.10 pagi pada 4 Julai lalu.

Kesemua mereka didakwa merogol semasa berakhirnya temasya sukan itu di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga mereka ditahan reman untuk siasatan.

Terdahulu, mangsa dikatakan telah keluar minum bersama ketiga-tiga lelaki itu sebelum kejadian pada hari berkenaan dan dakwaan rogol itu berlaku di bilik dorm di perkampungan sukan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan