Pelajar Malaysia Di Mesir Terhimpit Antara Peperiksaan Dan Protes

Diterbitkan: Rabu, 10 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PELAJAR - pelajar Malaysia tahun keempat jurusan perubatan di Universiti Kaherah berada dalam kebuntuan.

Mereka mempunyai satu lagi kertas peperiksaan untuk diduduki tahun ini, tetapi ia sering ditangguhkan kerana protes bantahan pro dan anti-Morsi.

"Pada mulanya peperiksaan untuk kertas forensik dan toksikologi sepatutnya diadakan pada 8 Julai. Kemudian kerana protes, mereka menangguhnya ke 11 Julai, dan kini ia telah ditangguhkan ke 13 Julai.

"Kami masih tidak pasti sama ada peperiksaan akan diteruskan pada 13 Julai kerana pihak universiti memberitahu kami supaya memeriksa dengan mereka pada hari Jumaat (12 Julai)," kata Ahmad Kamil Ahmad Fahmi, pelajar tahun empat dan Presiden Persatuan Pelajar Perubatan Malaysia di Kaherah.

Beliau berkata ramai pelajar Mesir di Universiti Kaherah terlibat dalam demonstrasi jalanan dan telah menggesa universiti menangguhkan peperiksaan sehingga selepas Hari Raya, sambil menambah beberapa pelajar Malaysia telah kehabisan wang membeli tiket penerbangan kerana penangguhan itu.

Salah satu kawasan utama di mana penyokong-penyokong pro-Morsi berkumpul adalah berhampiran Universiti Kaherah dan jalan-jalan di luar universiti telah menjadi sasaran serangan maut.

Kereta yang terbakar masih terdapat di sepanjang di jalan-jalan tersebut yang menjadi bukti keganasan seminggu yang lalu.

Kamil berkata pelajar-pelajar Malaysia, termasuk mereka yang belajar di Universiti Kaherah, tinggal di kawasan selamat yang tidak terlalu hampir dengan universiti sambil menambah para pelajar telah mengambil langkah berjaga-jaga.

Abdul Rahim Samad, pelajar tahun kelima dan merupakan presiden pelajar-pelajar Malaysia di Mesir berkata mereka kerap bertemu dengan pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia.

Selain garis panduan ditetapkan bagi pelajar-pelajar, terdapat satu pelan pemindahan jika situasi menjadi buruk.

Beliau berkata, pelajar-pelajar telah diberitahu supaya menyimpan wang tunai di tangan dan menyimpan bekalan makanan untuk seminggu sekiranya ada kecemasan dan mereka tidak dapat keluar.

Pelajar juga digalakkan untuk menjauhkan diri dari kawasan "panas" dan kawasan bantahan selain diberitahu tidak membesar-besarkan tentang apa yang berlaku di Facebook dan Twitter.

"Kami juga memberitahu mereka supaya tidak menyiarkan pendapat politik mereka di Facebook kerana pelajar-pelajar kita mempunyai ramai rakan-rakan dari Mesir di FB dan kita tidak mahu pelajar-pelajar kita menjadi sasaran kerana pandangan mereka.

"Terdapat rakyat Mesir yang telah melabelkan rakyat Malaysia sebagai pro-Morsi, yang boleh menyebabkan masalah dengan pihak lain dan kita mahu mengelakkan perkara ini," kata Rahim, yang cukup bertuah kerana telah selesai kertas peperiksaan terakhir bagi tahun ini.

Nor Sabiha Zakaria, pelajar tahun keempat dan menunggu untuk menduduki kertas terakhir berkata pergerakan pelajar terhad dan mereka tidak banyak keluar seperti yang dilakukan sebelum ini.

Pelajar perubatan tahun ketiga Anis Zakaria, yang telah selesai peperiksaan memilih untuk tinggal lebih lama sedikit di Kaherah kerana sukakan suasana berpuasa dan Ramadan di Mesir.

"Orang-orang Arab sangat baik, sangat sopan dan ramah dengan orang asing. Tuan rumah menghubungi kami dari semasa ke semasa untuk memeriksa keadaan supaya kami baik-baik saja," katanya, sambil menambah dia sentiasa berjaga-jaga jika keadaan semakin buruk.

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Kolumnis

iklan

Iklan