Pandikar Tolak Permintaan Pakatan Rakyat Bahas Usul Kematian Kugan

Diterbitkan: Selasa, 9 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sekali lagi tidak membenarkan Pakatan Rakyat membangkitkan isu kematian tahanan dalam lokap, A. Kugan pada sesi perbahasan di Parlimen.

Pandikar menolak satu lagi usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Padang Serai N.Surendran untuk mencabar keputusannya pada 1 Julai lalu, berhubung usul untuk membincangkan isu kematian dalam tahanan itu.

Katanya, usul itu perlu ditolak memandangkan ia bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat 15 yang menetapkan agar Dewan mengutamakan urusan kerajaan berbanding urusan lain.

"Telah menjadi budaya Parlimen sejak dari dulu lagi, apabila ada usul seperti ini termasuk usul yang mencabar keputusan Yang Dipertua, usul tersebut akan masuk di dalam Kertas Aturan Urusan Mesyuarat.

"Menurut Perkara 15, agenda kerajaan diutamakan. Jadi dalam hal ini, tindakan kita ialah usul Yang Berhormat telah dimasukkan dalam Kertas Aturan Urusan Mesyuarat," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Keputusan itu bermakna usul berkenaan hanya difailkan dan tidak akan dibahaskan.

Pandikar dalam keputusannya pada 1 Julai lalu menolak usul untuk membahaskan isu kematian Kugan atas alasan subjudis terhadap kes itu.

Surendran bagaimanapun pada Selasa meminta agar Speaker menimbang semula usul tersebut berdasarkan Peraturan Mesyuarat 43.

Peraturan yang dirujuknya itu antara lainnya memperuntukkan hak kepada ahli dewan bagi mengemukakan rayuan untuk menyemak semula sesuatu keputusan Speaker.

"Jadi, bermakna peraturan 43 tak bermaknalah sebab tak boleh cabar keputusan Yang Dipertua untuk buat rayuan pada Dewan," kata Surendran.

Bantahan Surendran itu disokong Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) yang meminta Speaker menjelaskan alasan subjudis tersebut.

Pandikar seterusnya menjelaskan subjudis itu bermaksud bahawa perbincangan di Parlimen akan menjejaskan perjalanan kes tersebut di mahkamah.

"Subjudis apabila kes itu kalau bincang di sini (Dewan Rakyat) akan jejas kes tersebut. Apabila berhujah, mereka (Ahli Parlimen) akan berhujah sewenangnya tak ikut peraturan mesyuarat.

"Bukan saya kata kepada sesiapa. Kalau isu sensitif, apabila berhujah boleh jadi hujah itu akan bawa pengertian lain apabila ditulis oleh wartawan. Itu pengertian saya apabila perkara itu sudah dalam mahkamah," tegas Pandikar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan