Kuala Besut: PAS Harus Turunkan Nama Besar Seperti Mat Sabu

Diterbitkan: Selasa, 9 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mat Sabu diturunkan sebagai calon PAS di Pendang pada PRU-13, 5 Mei lalu.
Mat Sabu diturunkan sebagai calon PAS di Pendang pada PRU-13, 5 Mei lalu.

PETALING JAYA: PAS harus berfikir di luar kotak dan menurunkan nama-nama besar yang tewas pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata untuk menang di kubu kuat Umno, calon PAS haruslah seseorang yang terkenal di peringkat kebangsaan berbanding hanya dikenali di peringkat akar umbi sahaja.

"Kedua-dua cara itu boleh digunakan. Pendekatan berprofil tinggi mungkin berkesan, ia menunjukkan parti itu melihat para pengundi dan pilihan raya itu dengan amat serius.

"Namun mereka juga boleh mendapat faedah dengan menurunkan calon yang dikenali penduduk di kawasan itu. Saingan pasti sengit kerana ia kubu kuat Barisan Nasional. Siapa yang mereka pilih, PAS perlu memberikan tentangan sengit ," katanya kepada The Star Online.

Penganalisis Politik, Khoo Kay Peng berkata ia mungkin memberi manfaat untuk menurunkan nama-nama besar seperti Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (yang tewas di kerusi DUN Nusajaya) atau Timbalan Presiden Mohamad Sabu (tewas di kerusi Parlimen Pendang).

"Ia ada pro dan kontra - ia akan kelihatan menarik. Namun jika nama-nama besar itu tewas, ia amat teruk untuk karier politik mereka. Di sebalik momentum kerana DAP di Johor, Salahuddin masih gagal menangi kerusi ditandinginya. Jika dia tewas buat kali kedua, ia akan kelihatan amat teruk," katanya.

Khoo berkata, seseorang yang rapat dengan penduduk di kawasan itu mempunyai peluang cerah memandangkan Kuala Besut merupakan kawasan luar bandar di mana penekanan lebih diberikan terhadap masyarakat di sana.

Perkara itu turut dipersetujui Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dzulkefly Ahmad yang berkata calon ideal harus menjadi penduduk kelahiran Kuala Besut.

"Kita tidak memerlukan calon berprofil tinggi, kita perlukan seseorang yang popular di peringkat akar umbi, seseorang pengundi yang tahu dia boleh berkhidmat kepada masyarakat di sana."

Mat Sabu turut bersetuju dengan berkata adalah lebih baik menurunkan calon penduduk setempat untuk bertanding pada PRK.

PAS akan mengumumkan calonnya di Kuala Besut yang mempunyai kira-kira 17,683 pengundi pada malam Selasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan