Calon BN Kuala Besut Yakin Faktor Umur Bukan Halangan

Diterbitkan: Selasa, 9 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman. Foto BERNAMA
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman. Foto BERNAMA

BESUT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yakin faktor umur bukan penghalang baginya untuk mendekati pengundi.

Tengku Zaihan, 37, berkata, pengalamannya berkhidmat di Daerah Besut sebagai bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi nilai tambah kepadanya dalam usaha memenangkan BN.

"Bagilah peluang kepada saya walaupun saya muda. InsyaAllah dengan pengalaman ini, saya akan teruskan khidmat bakti.

"Sebelum ini pun saya biasa mendampingi masuarakat terutamanya nelayan, petani dan masyarakat kampung yang lain," katanya pada sidang media di Pusat Operasi BN di sini, Selasa.

Sebelum itu pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon BN diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Kuala Besut kira-kira pukul 4.10 petang.

Selain itu anak kelahiran Kampung Nail yang terletak dalam DUN Kuala Besut itu berkata, beliau berjanji akan meneruskan khidmat BN di kawasan berkenaan jika diberi peluang oleh pengundi.

"Pemilihan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk saya.

"InsyaAllah saya akan teruskan khidmat bakti BN kepada masyarakat di kawasan ini," katanya.

Tengku Zaihan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Bapa kepada empat orang cahaya mata itu sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang guru, Siti Salbiah Othman, 34.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan