Adun Kemelah Angkat Sumpah Exco Ke-10 Johor

Diterbitkan: Selasa, 9 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Datuk Ayub Rahmat pada Selasa mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata majlis angkat sumpah diadakan pada 9 pagi dengan Ayub kini memikul tugas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor.

"Pagi ini telah sempurna pelantikan Ayub sebagai exco ke-10 dan dengan demikian melengkapkan jumlah exco yang patut dilantik dalam barisan kerajaan Johor di bawah pimpinan saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis lawatan Sultan Johor ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, Selasa.

Mohamed Khaled berkata portfolio yang disandang Ayub amat penting bagi Johor yang sedang berkembang pesat memandangkan aspek kualiti hidup dan penjagaan alam sekitar menjadi perhatian golongan muda ketika ini.

Menurut Mohamed Khaled, pemilihan ecxo kali ini tidak berasaskan amalan kuota seperti dahulu lebih-lebih lagi berikutan keputusan MCA yang menolak sebarang jawatan dalam kerajaan berikutan prestasi buruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Mei lepas.

"Pemilihan Datuk Tee Siew Kiong (MCA-Pulai Sebatang) sebagai exco sebelum ini adalah atas lantikan Sultan Johor kerana baginda mahu wakil kaum Cina dalam barisan exco. Jadi, dalam kerajaan negeri Johor ketika ini ada wakil Umno, MIC dan wakil kaum Cina seperti yang dititah Sultan," katanya.

Sementara itu, Ayub ketika dihubungi berkata beliau menjunjung kasih atas perkenan Sultan Johor dan berterima kasih dengan cadangan serta kepercayaan Menteri Besar Johor melantiknya sebagai exco berkenaan.

Beliau berkata pelantikan tersebut adalah satu amanah dan tangunggjawab berat memandangkan portfolio kesihatan dan alam sekitar membabitkan kesejahteraan rakyat.

Katanya beliau akan berjumpa Mohamed Khaled untuk mendapatkan pandangan dan nasihat bagi menggalas jawatan itu sebaik mungkin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan