RM400 Juta Adalah Siling Perbelanjaan PRU-13 - SPR

Diterbitkan: Ahad, 7 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan RM400 juta yang dinyatakan pada persidangan Dewan Rakyat adalah jumlah siling yang diluluskan Kementerian Kewangan dan bukan jumlah sebenar perbelanjaan mengendalikan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata jumlah sebenar perbelanjaan PRU-13 hanya akan dapat diketahui apabila akaun perbelanjaan PRU13 ditutup memandangkan bayaran masih dilakukan pejabat-pejabat SPR negeri.

"Dalam soal bajet, kita telus kerana perbendaharaan akan pastikan setiap kos pada PRU disertai dengan butiran-butiran dan akhirnya akan diperiksa dan diaudit.

"Berdasarkan pengalaman kita, selalunya tidak melebihi jumlah besar atau jumlah siling yang diluluskan. Dasar SPR adalah ketika meminta peruntukan, kita tidak mahu apabila sampai setengah jalan, bajet tak cukup. Jadi kita akan membuat permintaan untuk jumlah atau anggaran besar itu," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.

Anggota Parlimen pembangkang mempersoal jumlah perbelanjaan SPR yang meningkat sekali ganda dalam tempoh lima tahun berbanding hanya RM200 juta pada PRU12.

Anggota Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook menyifatkan sebagai tidak wajar pertambahan perbelanjaan seratus peratus walaupun bilangan pengundi yang terlibat hanya bertambah 20 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis kepada Loke pada Isnin lepas menyatakan kos perbelanjaan mengendalikan PRU13 adalah RM400 juta, dengan pecahan kos adalah elaun lebih masa RM5.018 juta, sewaan pengangkutan, borang semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks dan lain-lain RM98.465 juta, bayaran perkhidmatan dan saguhati semua petugas PRU RM204.1 juta serta perbelanjaan lain RM93.354 juta.

Wan Ahmad menjelaskan pertambahan siling peruntukan itu dibuat berdasarkan anggaran yang dikemukakan pejabat SPR setiap negeri sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Perbendaharaan.

"Setiap kali bila ada PRU, memang peruntukan meningkat sejajar dengan keadaan semasa. Biasanya Perbendaharaan lulus secara jumlah besar dan pengagihan bajet diberi berperingkat-peringkat, termasuk sebelum PRU," katanya.

Sebagai contoh, setahun sebelum PRU13, SPR membuat pelbagai persiapan seperti mengadakan latihan kepada petugas-petugas di setiap negeri yang perlu dilakukan beberapa kali. Semua ini melibatkan kos dan merupakan sebahagian daripada peruntukan yang diluluskan itu, katanya.

Katanya keseluruhan petugas SPR pada PRU13 kira-kira 235,000, termasuk pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus, pegawai dan anggota penguatkuasa, petugas di tempat mengundi dan pemandu arah. Wan Ahmad juga menafikan para petugas diberikan bonus.

"Tidak ada bonus, cuma elaun sahaja. Laporan kata petugas SPR dapat bonus adalah tidak tepat sama sekali. Untuk elaun, itu memang meningkat sebab kita mengambil kira kos inflasi dan sebagainya."

Beliau menjelaskan caj perkhidmatan dan saguhati untuk petugas SPR adalah besar memandangkan ia melibatkan pembekalan topi, baju-T SPR, vest SPR, payung serta cenderahati lain seperti pen, cakera padat (CD) dan buku panduan.

"Bayangkan semua ini untuk 235,000 petugas. Jangan lupa cenderahati turut diberi kepada mereka yang menghadiri taklimat pilihan raya, termasuk wakil-wakil parti politik dan petugas mereka," katanya.

Beliau juga berkata SPR perlu menanggung kos petisyen pilihan raya selain menjelaskan perbelanjaan di sesetengah kawasan Parlimen memang lebih tinggi berbanding yang lain berikutan kedudukan geografi.

"Di Sabah dan Sarawak sahaja, untuk PRU-13, SPR menyewa lebih 60 helikopter dan lebih 1,000 bot laju," katanya.

Walaupun Anggota Parlimen pembangkang mempertikai kewajaran pertambahan perbelanjaan SPR, rakan mereka daripada Barisan Nasional berpendapat pertambahan peruntukan itu sebagai sesuatu yang perlu dilakukan.

"Kalau tak cukup petugas, parti pembangkang juga yang kritik tak cukup. Kalau lebih, mereka kata membazir. Bagi saya, yang penting setiap peruntukan itu dibelanjakan dengan berhemah dan tidak ada penyalahgunaan," kata Anggota Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Ming.

Lagipun, tempoh pilihan raya umum ke-13 lebih panjang berbanding sebelumnya dan turut menyumbang kepada pertambahan perbelanjaan.

"Kali ini, kita ada dua minggu tempoh berkempen. Ia adalah satu angka berkadar. PR (pakatan pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Rakyat) yang mahukannya (tempoh berkempen)lebih panjang, sekurang-kurangnya 21 hari," kata Anggota Parlimen Labis (BN-MCA) Datuk Chua Tee Yong.

Walaupun jumlah perbelanjaan pilihan raya kian meningkat, Wan Ahmad berpendapat ia tetap berbaloi dengan tujuan pilihan raya itu diadakan.

"Kita perlu melihat daripada sudut kesinambungan proses demokrasi. Tidak ada salah. Sebab itu ada negara-negara maju yang sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit membantu negara mundur mengadakan proses demokrasi mereka.

"Bagi negara kita, tak ada satu sen pun kita minta sumbangan daripada luar sebab kita nak jaga kedaulatan proses demokrasi di negara ini," katanya ketika mengakhiri temu bual. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan