Guan Eng Minta Bukti Dakwaan Doktor Cina Bersikap Rasis

Diterbitkan: Jumaat, 5 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta pembangkang di negeri ini mengemukakan bukti terhadap dakwaan bahawa seorang doktor berbangsa Cina tidak dapat memberi perkhidmatan baik kepada pesakit Melayu di sebuah hospital kerajaan.

Beliau berkata perkara itu penting dan serius kerana isu berkenaan melibatkan perkauman.

"Saya harap ahli pembangkang boleh bersikap bertanggugjawab dengan mendedahkan nama supaya suatu siasatan dan tindakan boleh diambil.

"Kalau tidak benar (dakwaan ini), maka pihak pembangkang mesti bertanggungjawab menarik balik dan meminta maaf kepada semua doktor di Malaysia," katanya ketika menggulung ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Uundangan Negeri di sini Jumaat.

Rabu lepas, persidangan DUN menyaksikan pertikaman lidah antara RSN Rayer (DAP-Seri Delima) dengan Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) berhubung isu perkauman.

Kedua-dua wakil rakyat berkenaan bertelagah setelah Rayer mendakwa Roslan cuba mencetuskan isu perkauman apabila mengutarakan mengenai isu seorang doktor berbangsa Cina yang tidak dapat memberi perkhidmatan baik kepada pesakit Melayu di sebuah hospital kerajaan.

Lim berkata jika dakwaan itu benar dan berasas doktor berkenaan seharusnya dipecat dan lesen perubatannya dibatalkan kerana melanggar 'sumpah Hippocrates'.

Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila pembangkang mengaitkan isu itu dengan tsunami Cina pada pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu, Roslan yang mencelah berkata beliau membangkitkan isu itu untuk memberi teladan kepada semua pihak supaya kejadian sedemikian tidak berlaku di negara ini.

"Saya membangkitkan apa yang telah pun dilakukan oleh beberapa orang doktor dan saya tidak fokuskan kepada semua.

"Antaranya, inilah kesan daripada pilihan raya umum ke-13 yang menggambarkan bahawasanya jelas tsunami Cina yang melanda dan ini yang terbawa-bawa kepada keadaan yang berlaku yang telah saya nyatakan dalam dewan yang mulia ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan