BNM Laksana Langkah-Langkah Bendung Peningkatan Hutang Isi Rumah

Diterbitkan: Jumaat, 5 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan satu set langkah-langkah, yang berkuat kuasa serta merta, untuk mengelakkan hutang isu rumah yang berlebihan dan memperkukuh amalan pemberian pinjaman bertanggungjawab oleh pemberi kredit utama.

Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata langkah-langkah itu mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi kepada 10 tahun dan pembiayaan pembelian hartanah kediaman kepada 35 tahun dan melarang penawaran produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.

Turut termasuk ialah penetapan nisbah khidmat bayaran hutang yang membolehkan isi rumah mempunyai penampan kewangan mencukupi untuk melindungi mereka daripada kenaikan kos dan kejadian yang tidak dijangka, katanya.

Zeti berkata pada Mac tahun ini, nisbah hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Malaysia berkembang sebanyak 13 peratus kepada 83 peratus daripada 70 peratus pada 2009, paras tertinggi bagi negara-negara membangun di Asia.

"Memandangkan ekonomi kini berkembang pada jajaran empat hingga enam peratus, kami percaya tahap hutang ini tidak berkekalan dan itulah sebabnya mengapa kami memperkenalkan langkah-langkah ini," katanya pada taklimat media di sini, Jumaat.

Beliau berkata membandingkan hutang isi rumah berbanding KDNK di negara membangun lain Asia, Thailand berada pada 30 peratus, Indonesia 15.8 peratus, Hong Kong 58 peratus, Taiwan 82 peratus, Jepun 75 peratus dan Singapura 67 peratus.

Zeti berkata negara-negara yang mempunyai hutang isi rumah tinggi berbanding KDNK ialah Amerika Syarikat pada 91.7 peratus, Australia 113 peratus, New Zealand 91 peratus, United Kindom 114 peratus dan Korea Selatan 91 peratus.

Beliau berkata bank pusat menyediakan amalan berian pinjaman bertanggungjawab dan tingkah laku pinjaman berhemat oleh sektor isi rumah.

Menurutnya, langkah-langkah itu bertujuan untuk memastikan sektor isi rumah yang lebih mapan dalam tempoh sederhana, dan memberi jaminan sektor tersebut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan cara yang mapan.

"Kami memutuskan untuk menumpu kepada sektor isi rumah bagi langkah-langkah ini, agar tidak akan ada kekeliruan dalam hasil yang kami mahu capai, iaitu kemapanan sektor isi rumah kerana ia merupakan pemacu penting kepada ekonomi kita," katanya.

Zeti berkata satu daripada faktor-faktor yang menyumbang kepada hutang isi rumah yang tinggi ialah peningkatan aliran pinjaman peribadi yang meningkat pada kadar purata tahunan 20 peratus.

Beliau berkata peningkatan peranan institusi kewangan bukan bank, yang membekalkan hampir 60 peratus daripada pembiayaan peribadi kepada isi rumah, juga merupakan faktor penyumbang.

"Daripada jumlah pembiayaan, 16.9 peratus adalah pembiayaan peribadi. Dari segi kadar pertumbuhan pembiayaan peribadi oleh institusi kewangan bukan bank, tahun lepas ia meningkat 29 peratus berbanding bank-bank yang berkembang 9.1 peratus.

"Persaingan agresif dalam pasaran pembiayaan peribadi juga menyumbang kepada kadar pembiayaan rendah yang tidak mencerminkan risiko yang berkaitan," katanya.

Mengenai tempoh pinjaman yang panjang, beliau berkata, meskipun tempoh lebih panjang mungkin mengurangkan pembayaran semula bulanan, bagi tempoh jangka panjang ia akan meningkatkan keseluruhan beban hutang isi rumah.

Zeti berkata BNM juga menggesa institusi kewangan memberikan penekanan kepada penilaian kemampuan berbanding sejarah pembayaran semula dan cagaran yang biasanya mempengaruhi keputusan berian pinjaman walaupun penilaian kemampuan menunjukkan potensi kelemahan di masa depan.

Langkah-langkah baharu itu yang melengkapkan garis panduan berian pinjaman bertanggungjawab yang dikeluarkan tahun lepas, terpakai pada semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM, koperasi kredit yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Malaysia Building Society Bhd dan Aeon Credit Services (M) Bhd, katanya.

Beliau berkata had-had bagi tempoh pembiayaan ini tidak akan melibatkan permohonan yang dibuat sebelum Jumaat. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan