Bantuan Pakar Bantu SPRM Percepat Siasatan Kes Rasuah Sektor Swasta

Diterbitkan: Jumaat, 5 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Keupayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes rasuah melibatkan sektor swasta kini berjaya ditingkatkan ekoran bantuan daripada pakar dan mereka yang berpengalaman.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata pendekatan mengambil pakar luar, merupakan antara proses transformasi yang dilakukan SPRM.

"Pakar-pakar dari luar ini dikontrakkan, dipinjamkan kes SPRM untuk membolehkan mereka membantu siasatan kes-kes swasta. Dalam masa yang sama, mereka ini akan pindahkan pengetahuan mereka kepada pegawai SPRM.

"Mereka ini berpegalaman dalam bidang bursa saham, perbankan, perakaunan forensik. Dalam masa sama juga mereka merupakan pegawai penyiasat atau juruaudit yang hebat di syarikat mereka," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Menurut beliau sejak tahun lepas, seramai 10 orang pakar luar dipinjamkan ke SPRM dan bilangan tersebut dijangka bertambah pada masa depan bergantung pada keperluan.

Selain bantuan tenaga pakar swasta, Mohd Shukri berkata kes turut disiasat pasukan petugas bersama pejabat Peguam Negara, sekali gus membantu mempercepatkan hasil siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan