Anggota DUN BN Sangkal Dakwaan Kaum Lain Tidak Diberi Peluang Dalam Pasukan Keselamatan

Diterbitkan: Jumaat, 5 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) menyangkal tuduhan bahawa kaum Cina dan India tidak berpeluang memegang jawatan penting dalam pasukan keselamatan.

Mohd Zain Ahmad (BN-Penaga) berkata persepsi P. Ramasamy (DAP-Perai) yang juga Timbalan Ketua Menteri II perlu ditolak kerana terbukti kaum lain turut mendapat peluang yang sama menjawat jawatan penting dalam pasukan polis dan tentera.

"Kita sebagai rakyat negara ini janganlah menafikan tanpa merujuk kepada fakta yang betul. Saya tidak pasti sama ada Perai (Ramasamy) sedar atau tidak yang Pulau Pinang sendiri pernah ada Ketua Polis Negeri dari bukan Melayu iaitu Datuk Koh Hong Sun, begitu juga sebelum beliau.

"Sepatutnya kita sebagai wakil rakyat memberi galakan kepada kaum lain untuk memohon memasuki perkhidmatan tentera dan polis dan kalau berjaya itu satu perkembangan yang bangus dan bukannya berterusan berpegang kepada persepsi dan mengapi-apikannya," katanya.

Beliau mencelah penggulungan perbahasan Ramasamy ke atas ucapan Yang Dipertua Negeri.

Ketua Pembangkang DUN, Datuk Jahara Abdul Hamid (BN-Teluk Air Tawar) turut mencelah membidas Ramasamy di atas kenyataannya bahawa parti komponen BN iaitu MIC tidak membantu kaum India.

Jahara berkata kenyataan itu hanya rekaan dan mahu memburukkan pemimpin MIC. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan