9,101 Pelajar Malaysia Selamat, Tidak Terlibat Pergolakan Di Mesir - Berita Semasa | mStar

9,101 Pelajar Malaysia Selamat, Tidak Terlibat Pergolakan Di Mesir

Diterbitkan: Jumaat, 5 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 9,101 pelajar Malaysia yang berada di Mesir selamat dan mereka tidak terlibat dengan pergolakan yang sedang berlaku di negara berkenaan.

Menurut jurucakap Kedutaan Malaysia di Kaherah, kesemua pelajar berkenaan pada masa ini sedang menghadapi peperiksaan semester dan tinggal berdekatan dengan universiti masing-masing.

"Buat masa ini, keadaan di Mesir masih terkawal dan tiada sebarang laporan memaklumkan kejadian tidak diingini berlaku kepada pelajar Malaysia di Mesir," katanya ketika dihubungi Bernama, Jumaat.

Katanya pihak kedutaan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan akan mengambil langkah keselamatan jika pergolakan di negara itu berterusan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konflik terbaharu di Mesir yang menyaksikan penggulingan Presiden Mohammed Morsi, pemimpin yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Mesir pada 30 Jun 2012 bagi menggantikan Hosni Mubarak.

Rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Kaherah untuk maklumat lanjut dengan menghubungi (202) 37610013/19/68/73 atau Bilik Operasi Kedutaan Malaysia di talian 00-2-02-37610270 atau 02-37610013/02-37610068 sambungan 141 atau menerusi e-mel. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan