Tiada Asas Bagi Bantahan Ala 'Arab Spring' Di Malaysia - Najib

Diterbitkan: Rabu, 3 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak ada asas untuk melancarkan bantahan ala Arab Spring di Malaysia dengan menegaskan bahawa negara menikmati keamanan dan kestabilan selama 55 tahun.

Dalam temu bual dengan BBC pada Selasa, beliau berkata negara Asia Tenggara ini yang berpenduduk 28 juta orang menyaksikan kemajuan ekonomi yang baik dan rakyat mempunyai banyak perkara untuk melihat ke hadapan.

"Kami tidak fikir ada asas bagi rakyat untuk turun ke jalanan membantah terhadap kerajaan," katanya apabila ditanya sama ada beliau khuatir bantahan besar-besaran akan menimpa Malaysia seperti yang berlaku di Mesir.

Najib, yang mengadakan lawatan kerja empat hari ke United Kingdom, berkata dalam konteks Malaysia, apa yang penting ialah perubahan boleh dibuat dari dalam dan ia bukan hanya mengenai mengubah kerajaan.

"Inilah yang berlaku dengan perubahan itu. Dan jika rakyat mahukan perubahan, apa yang saya katakan ialah kita boleh bawa perubahan tetapi dari dalam," katanya semasa temu bual secara langsung dengan penyampai berita BBC Jon Sopel.

Najib menolak dakwaan bahawa Malaysia diperintah secara autokratik dan bahawa kerajaan tidak responsif kepada rakyat, cadangan yang diambil dari maklum balas Twitter yang disuarakan Sopel.

"Kami tidak (autokratik). Kami perlu mendekati mereka. Masalah dengan media sosial ialah terlalu banyak maklumat palsu di luar sana dan terpulang kepada kita untuk membetulkannya.

"Inilah apa yang kami lakukan. Kami perlu melibatkan diri melalui media sosial supaya lebih ramai orang akan memahami dan menghargai apa yang dilakukan kerajaan," jelas beliau.

Najib juga menjawab soalan mengenai pilihan raya umum Malaysia pada 5 Mei lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) dipilih semula memegang tampuk kerajaan di tengah-tegah kebimbangan mengenai cara pilihan raya itu dilaksanakan.

"Kami tetap mempertahankan bahawa pilihan raya itu dijalankan dengan benar, adil dan telus," katanya sambil menambah bahawa kerajaan bersedia disoal berhubung perkara ini menurut perlembagaan dan undang-undang negara.

"Kami tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, kami telus," katanya.

Najib juga mengambil peluang menjelaskan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menghapuskan undang-undang tertentu yang mendapat kritikan hebat.

"Kami telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, kami telah memansuhkan...Ordinan Darurat di Malaysia. Dengan lain perkataan, penahanan tanpa bicara merupakan sejarah di Malaysia.

"Jadi, buat kali pertama di Malaysia terdapat begitu banyak kebebasan bagi rakyat untuk membantah terhadap kerajaan," katanya.

Menjelaskan perkara itu, Najib berkata dasar Akta Hasutan adalah bagi memastikan keamanan dan keharmonian di Malaysia.

"Kami akan meminda Akta Hasutan tapi pada masa yang sama, ada peruntukan tertentu yang akan memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni," katanya.

Sambil menegaskan bahawa Malaysia ditadbir oleh undang-undang, Najib menjelaskan bahawa mereka yang mengeluarkan kenyataan sehingga menjejaskan kestabilan negara perlu bertanggungjawab.

Perdana menteri juga berkata undang-undang tertentu perlu berada di tempatnya bagi memastikan Malaysia, dengan rakyatnya yang pelbagai kaum, akan terus menjadi sebuah negara di mana rakyatnya dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Merujuk kepada bantahan yang sedang berlaku di Mesir, Najib berkata rakyat boleh mengadakan bantahan di Malaysia asalkan ia dilakukan secara aman.

"Dan sebenarnya kami telah memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman. Dengan lain perkataan, malah jika anda mengadakan bantahan terhadap kerajaan, lakukannya secara aman dan anda dibenarkan untuk berbuat demikian," katanya.

Mengenai pilihan raya umum 5 Mei lalu, Najib menjelaskan bahawa ia berlaku berhubung isu-isu tertentu dengan pembangkang membuat janji-janji tertentu.

"Kamu tahu, jika kamu dalam pembangkang, ia agak mudah bagi kamu untuk menjanjikan beberapa perkara dan janji-janji itu mempengaruhi sebilangan pengundi.

"Tetapi kebenarannya, agenda pembangkang tidak diberi pertimbangan, ia janji populis malah mereka tidak bertanggungjawab tetapi mempengaruhi sebilangan pengundi," kata Najib.

Mengenai kenyataannya berhubung tsunami Cina selepas pilihan raya, Perdana Menteri berkata ia bukan satu tuduhan tetapi lebih kepada kenyataan mengenai apa yang berlaku.

"Tapi saya pernah berkata dalam kenyataan yang sama bahawa kita mesti berusaha ke arah penyatuan nasional dan kita mesti mengurangkan polarisasi kaum di Malaysia," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan