Ketegasan Cikgu Mary Yap Dibawa Ke Parlimen

Diterbitkan: Rabu, 3 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perwatakan pengetua yang sering dikaitkan dengan ketegasan masih menebal dalam diri Timbalan Menteri Pendidikan Mary Yap Kain Ching dan pada Rabu beberapa anggota Parlimen merasainya apabila mereka cuba mempertikai jawapan beliau berkaitan isu-isu pendidikan.

Bekas pengetua sekolah itu yang menjawab dua soalan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada mulanya tenang ketika berusaha memberi jawapan terbaik kepada soalan-soalan yang dikemukakan, namun nadanya bertukar tegas apabila beberapa anggota Parlimen cuba mencelah ketika beliau sedang menjawab.

Keadaan itu tercetus apabila Tian Chua (PKR-Batu) bangkit mencelah ucapan Yap dengan mendakwa jawapan timbalan menteri itu kepada soalan Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) lari daripada soalan.

"Menteri ditanya jumlah mengikut kaum yang diambil tetapi jawapan diberi tentang program, itu bukan soalan yang ditanya oleh Pandan (Mohd Rafizi), menteri kena jawablah mengikut soalan yang ditanya," desak Tian Chua.

Desakan Tian Chua itu menyebabkan Yap dengan tegas menyelar anggota Parlimen pembangkang itu yang disifatkan tidak mendengar dengan baik jawapannya kepada Mohd Rafizi untuk memberi jawapan secara bertulis memandangkan ia merupakan soalan spesifik.

"Sekiranya Yang Berhormat ada mendengar dengan baik, saya sudah jawab bahawa jawapan saya akan disampaikan melalui tulisan, jadi tunggu," tegasnya yang mengundang reaksi 'menyokong' dari beberapa anggota Parlimen lain.

Mohd Rafizi sebelum itu meminta kementerian menyatakan jumlah guru pelbagai kaum yang diambil dalam sektor pendidikan setiap tahun dan komposisinya serta langkah yang diambil untuk meningkatkan penyertaan guru pelbagai kaum di sekolah-sekolah di negara ini.

Ketegasan Yap sekali lagi ditunjuk ketika menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai pencapaian Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau yang merasa terganggu dengan celahan beberapa anggota Parlimen yang seolah-oleh tidak berminat mendengar penjelasannya bertindak berhenti menjawab dan duduk.

"Ini jawapan saya dengarlah, kalau Yang Berhormat tidak berminat untuk mendengar (penjelasan), saya tak perlulah jawab," katanya.

Tindakan Mary yang seolah-olah merajuk itu menyebabkan anggota Parlimen 'bising' dan menyifatkan beliau seorang timbalan menteri yang 'sukar' untuk berurusan. Keadaan itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencelah :"Yang Berhormat, menteri yang menjawab ini bekas pengetua sekolah yang mempunyai pengalaman luas, jadi kalau belum pernah menjadi guru janganlah terlampau memanjangkan perkara ini".

Terdahulu ketika menjawab soalan Rafizi, Mary berkata Kementerian Pendidikan telah melaksanakan penjajaran pengambilan latihan perguruan di institut pengajian tinggi bagi menyesuaikan penawaran dan keperluan guru, bertujuan mengekang lebihan graduan pendidikan daripada berlarutan.

"Kementerian juga sedang menjalankan kajian unjuran keperluan dan dasar penempatan dan pertukaran guru dan kumpulan pelaksanaan melalui pihak perunding yang dilantik iaitu unit perundingan Universiti Malaya, kajian telah dijalankan mulai Februari 2013, mengambil tempoh masa 12 bulan," katanya.

Mohd Rafizi bertanya mengenai langkah untuk memastikan siswa perguruan di Institut Pendidikan Guru dan institusi pengajian tinggi tidak menganggur apabila kerajaan tidak lagi menjamin mereka dilantik menjadi guru.

Menjawab soalan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris, Yap berkata anggaran jumlah kos projek itu sejak dilaksanakan pada 2003 ialah RM6 bilion.

Kos itu meliputi penyediaan peralatan, latihan guru dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), katanya.

Menjawab soalan Idris mengenai bayaran BISP, Yap berkata guru-guru yang masih mengajar mata pelajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris masih layak menerima bayaran insentif itu.

"PPSMI sedang dalam proses 'soft landing' di mana sekiranya ada guru-guru atas permintaan ibu bapa untuk terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris maknanya mereka boleh teruskan dan menjelang 2020, mereka ini akan merupakan kumpulan terakhir yang mengikuti PPSMI," katanya.

Mengenai alat-alat bantuan mengajar yang diberikan kepada sekolah untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran PPSMI, termasuk komputer riba dan projektor, Yap berkata kemudahan itu kini digunakan dalam pembelajaran subjek lain. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan