Kadar Hutang Isi Rumah Masih Belum Ditahap Membimbangkan - Husni

Diterbitkan: Rabu, 3 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kadar hutang isi rumah di negara ini masih belum di tahap membimbangkan memandangkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) masih lagi terkawal.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan tidak boleh melihat pada nilai hutang isi rumah semata-mata, tetapi haruslah meneliti kualiti pinjaman itu sendiri.

"Dari segi pinjaman peribadi, contohnya, jika kita dapat mengawal dengan baik dari segi permohonan pinjaman dan kemampuan peminjam membayar balik, itu yang seharusnya diutamakan," katanya.

"Justeru, apa yang penting ialah rekod pinjaman dalam portfolio sektor kewangan mestilah berkualiti tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2013 di sini Rabu.

Buat masa sekarang, menurutnya, kerajaan sedang meneliti cara untuk memperkukuhkan keadaan kadar hutang isi rumah negara.

"Walau pun kadar NPL masih rendah dan terkawal, kita tidak mahu rakyat pada akhirnya akan membawa balik ke rumah gaji akhir yang terlalu kecil," katanya.

"Jadi, fokus utama kita sekarang ialah pada kad kredit serta pinjaman peribadi dan kita meminta Bank Negara Malaysia untuk melihat perkara ini dari segi kedudukannya dan bagaimana untuk kita memperketat proses permohonan dari jenis pinjaman seperti ini," katanya.

Mengenai Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober ini, Husni berkata kerajaan kini dalam proses memulakan pertemuan dengan 15 kumpulan fokus yang melibatkan pelbagai item perbincangan.

"Kita akan mulakan dengan kelestarian fiskal dan kita harap akan selesaikan semuanya dalam bulan ini juga," katanya. Beliau juga memaklumkan kerajaan akan melaksanakan konsultasi belanjawan di Sabah dan Sarawak.

"Kita akan memulakan di Sarawak pada 16 Julai ini, dan segala persiapan kini sedang dibuat," kata Husni, sambil menyatakan bahawa kerajaan juga sedia menerima cadangan dari individu dan masyarakat yang akan dimasukkan dalam proses kajian belanjawan masing-masing.

"Bagaimana pun, matlamat utama Belanjawan 2014 adalah untuk menurunkan defisit fiskal daripada 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas kepada 4.0 peratus tahun ini dan lebih rendah untuk tahun hadapan," katanya.

Selain itu, dari segi pengurusan kewangan yang berhemat, Husni berkata kerajaan juga akan memastikan kadar nisbah hutang kepada KDNK tidak akan melebihi 55 peratus akan mengekalkan lebihan operasi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan