Akaun RM209 Juta: Pembangkang Diminta Tunggu Siasatan

Diterbitkan: Rabu, 3 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembangkang dinasihat tidak menjadi seperti 'cacing kepanasan' berhubung pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pembangkang sepatutnya menunggu hasil siasatan berhubung dakwaan yang mengaitkan Datuk Seri Anwar memiliki 20 akaun bank di luar negara dengan jumlah simpanan mencecah USD66 juta (RM209 juta).

"Harap semua pihak jangan jadi cacing kepanasan. Kalau kena kepada kita (pembangkang)...kita melompat.

"Elok bagi Anwar jawab kerana tuduhan itu ditujukan kepada beliau. Saya terima banyak aduan supaya kerajaan keluarkan kenyataan berhubung akaun-akaun ini. Tetapi kerana akaun luar negara, kita tunggu penyiasatan," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Menurut Shahidan, siasatan berhubung dakwaan itu akan mengambil masa terutamanya membabitkan Israel kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu.

Shahidan mengulas mengenai kekecohan yang berlaku pada persidangan Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen pembangkang membantah pendedahan Liang.

Antaranya Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menggesa supaya Liang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen jika gagal mengemukakan bukti mengenai dakwaannya.

Pada Selasa Dewan Rakyat menjadi gamat selepas dikejutkan dengan dakwaan Liang bahawa Anwar mempunyai 20 akaun bank di luar negara dengan jumlah simpanan mencecah USD66 juta (RM209 juta).

Menurut Liang, maklumat yang diperoleh menerusi internet seperti yang didedahkan Wikileaks itu turut mendedahkan bahawa kesemua akaun berkenaan dibuka di Amerika Syarikat, Israel dan China.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan