Tiada Subsidi Penukaran Meter Pukal Kepada Individu

Diterbitkan: Selasa, 2 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor belum bercadang untuk memberi subsidi kepada pemilik rumah pangsapuri yang ingin menukar meter pukal kepada meter individu untuk menikmati pemberian 20 meter padu air percuma di negeri itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A.Samad berkata, sekiranya penduduk pangsapuri berbuat demikian mereka perlu menanggung sendiri kos penyelenggaraan serta mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kos penyelenggaran berjumlah RM130 atau lebih untuk menukar meter pukal kepada individu perlu ditanggung sepenuhnya oleh pemilik rumah berkenaan. Setakat ini kerajaan negeri tidak ada cadangan untuk beri subsidi kepada penukaran meter pukal kepada individu.

“Kajian masih dijalankan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor juga sedang menstruktur semula caj air domestik bagi kawasan pangsapuri,” katanya ketika menjawab soalan lisan Shahrum Mohd Shahrum (BN-Dengkil) yang meminta kerajaan negeri memberi penjelasan sama ada caj domestik air bagi pengguna meter pukal di pangsapuri akan distruktur semula atau tidak.

Mengulas lanjut, Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka berkata, pada caj domestik bagi pengguna meter pukal hanya boleh distruktur semula secara menyeluruh sekiranya kerajaan negeri dapat mengambilalih syarikat konsesi air di Selangor.

“Kita memang menggalakkan migrasi meter air pukal kepada meter individu. Justeru kita telah menubuhkan Jawatankuasa Permai, yang merupakan ‘one stop centre’ (pusat sehenti) untuk penduduk pangsapuri melakukan migrasi meter air ini.

“Apabila mereka menggunakan meter individu mereka boleh terus menikmati pemberian 20 meter padu air percuma seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan