Kos Baru Ambil Amah Indonesia RM8,000

Diterbitkan: Selasa, 2 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju supaya pengambilan pembantu rumah asing (PRA) dari Indonesia disegerakan dengan kos sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap majikan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kadar kos yang dikenakan itu dibuat setelah mengambil kira kos yang wujud antara kedua-dua negara.

"Ini sudah dikaji oleh semua pihak termasuk Indonesia. Mereka minta dengan alasan kalau nak kekalkan kadar yang asal itu tak mungkin boleh dibuat.

"Kita pun tak mungkin mudah nak bersetuju, tapi apabila dikaji kita dapati itulah kadar yang sesuai walaupun dilihat agak tinggi.

"Tetapi itulah kadar yang kita persetujui dengan mengambil kira perbandingan dengan negara-negara penerima yang lain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (JKKPA-PATI) di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Menurut Muhyiddin perubahan struktur kos sebanyak RM8,000 ini dibuat selepas mengambil kira kos seperti latihan selama 200 jam, dokumen perjalanan, makanan dan penginapan pembantu rumah sebelum diserahkan kepada majikan.

Tambah beliau peningkatan itu juga mengambil kira kos pengangkutan, pemeriksaan kesihatan, serta bayaran kepada agensi pekerjaan di kedua-dua negara.

Sebelum ini menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia, bayaran kepada agensi pembantu rumah asing Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 iaitu RM2,711 dibayar oleh majikan dan RM1,800 oleh pembantu rumah berkenaan.

Selain itu Muhyiddin berkata, jawatankuasa berkenaan juga memutuskan supaya pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012 tidak terpakai kepada pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Gaji minimum kita tak ambil kira. Itu terserah kepada majikan untuk tentukan mengikut kadar pasaran," katanya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerajaan juga memutuskan untuk memansuhkan pengeluaran Journey Perform Visa (JP Visa) mulai 1 Oktober 2013.

Sebelum ini JP Visa dikeluarkan kepada warganegara Indonesia yang memasuki negara ini melalui Pas Lawatan Sosial sebagai pelancong untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan