SPR Akan Beri Kerjasama Penuh Siasatan SPRM Berhubung Dakwat Kekal

Diterbitkan: Isnin, 1 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memberikan sepenuh kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila siasatan akan diadakan berhubung isu penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Kami akan memberikan kerjasama kerana kita sangat ingin tahu terhadap apa yang sebenarnya berlaku.

"Kami hanya terkejut bahawa dakwat itu boleh dibasuh," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Katanya, beliau mengetahui bahawa siasatan akan dijalankan oleh SPRM.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, siasatan akan menyiasat sama ada terdapat sebarang unsur rasuah seperti penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan dalam mendapatkan dakwat berkenaan.

"Spesifikasi (dakwat) juga merupakan satu lagi aspek yang akan diteliti," katanya pada Ahad.

Dakwat kekal digunakan oleh SPR buat kali pertama untuk mengelakkan kemungkinan mengundi berulang tetapi suruhanjaya itu menerima pelbagai kecaman daripada parti-parti politik, calon-calon pilihan raya dan para pengundi apabila dakwat itu begitu mudah untuk dibersihkan.

Laporan polis kemudiannya dibuat oleh segelintir pengundi yang mendakwa dakwat itu mudah dibersihkan dalam tempoh beberapa jam.

Dalam tempoh sehingga pilihan raya pada 5 Mei laly, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, dakwat itu akan kekal pada jari pengundi selama kira-kira lima hingga tujuh hari.

Beliau juga berkata bahawa dakwat dengan berus dan tempat meletak tangan melibatkan kos kira-kira RM6 juta.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan