Kaji Naik Had Pendapatan Layak Terima BR1M - Berita Semasa | mStar

Kaji Naik Had Pendapatan Layak Terima BR1M

Diterbitkan: Isnin, 1 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menaikkan syarat kelayakkan pendapatan isi rumah bagi permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, kementeriannya sedang meneliti pelbagai cadangan yang diterima semasa konsultasi Bajet 2014 termasuk untuk menaikkan had pendapatan isi rumah bagi meluaskan penerima bantuan berkenaan.

"Cadangan untuk naikkan syarat pendapatan itu sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan, tapi kita belum lagi buat keputusan mengenai perkara ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang menaikkan jumlah syarat tersebut.

Menurut Nawawi, kenaikkan syarat pendapatan isi rumah daripada RM3,000 sebulan perlu dinaikkan sehingga RM5,000 bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati faedah itu.

Jumlah penerima BR1M 2.0 yang diagihkan pada Februari lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lepas.

Pada 2012 hanya 245,000 orang terima BR1M dan melibatkan perbelanjaan RM122.4 juta.

Bagi 2013, tujuh juta isi rumah dan individu bujang memperoleh BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion.

Pemberian BR1M 2.0 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan