Pembenihan Awan Berhasil Jika Ada Awan Sesuai - Jabatan Meteorologi

Diterbitkan: Sabtu, 29 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembenihan awan ketika jerebu hanya mampu menghasilkan hujan sekiranya ada awan yang sesuai untuk proses itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Che Gayah Ismail.

Beliau berkata perkara penting yang perlu dikenal pasti sebelum melaksanakan kaedah pembenihan awan ialah mencari awan yang sesuai di kawasan-kawasan yang mengalami bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya dengan menggunakan sistem radar.

Katanya JMM mengalami cabaran besar apabila pembenihan awan tidak dapat dijalankan semasa jerebu teruk melanda beberapa negeri di Semenanjung berikutan ketiadaan awan.

"Awan yang sesuai untuk pembenihan awan bukannya sentiasa ada, terutamanya ketika ini yang merupakan monsun Barat Daya yang bermula pada Mei hingga September di mana cuaca kering melanda negara ini seterusnya menyebabkan kita sukar mencari awan.

"Ketika kami mengesan menggunakan sistem radar, kami dapati pada 16 hingga 23 Jun lepas tiada awan langsung dan hanya langit biru sahaja. Oleh itu, pembenihan awan tidak dapat dilaksanakan kerana kita tahu ia tidak akan berkesan, lagipun kaedah itu memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi, " katanya ketika ditemu ramah dalam program 'Hello Malaysia' BernamaTV.

Turut menjadi tetamu program itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Halimah Hassan.

Che Gayah berkata pada 25 Jun lepas, JMM menjalankan pembenihan awan itu di lima tempat yang mempunyai awan bersesuaian iaitu di Kuala Selangor, Rawang, Batang Kali, Ipoh, dan Melaka antara 1 tengah hari hingga 3 petang dengan bantuan jet Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM).

"Semua tempat yang kami jalankan kaedah itu berjaya menurunkan hujan, kecuali di Melaka kerana awan itu didapati tidak mampu menurunkan hujan selepas disuntik 'pekatan' yang dibancuh dengan garam dan air dengan menggunakan jet itu.

"Biasanya, selepas disuntik pekatan itu, bergantung kepada ketebalan awan untuk menyebabkannya hujan, biasanya mengambil masa selama 30 minit untuk menurunkan hujan," katanya.

Sementara itu, Halimah berkata kesedaran tentang pentingnya penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat masih lemah.

"Apabila berlaku bencana ataupun fenomena jerebu, baru mereka sedar akan bahayanya kepada kesihatan dan menjejaskan kegiatan harian mereka dan berusaha mencegahnya serta merawatnya, ini sudah lewat.

"Seharusnya mereka perlu mengambil tindakan awal seperti memastikan tiada pembakaran terbuka dibuat dan mendapatkan maklumat terkini tentang cuaca dan kualiti udara melalui program kesedaran dan medium-medium yang dibekalkan JAS.

Halimah berkata JAS juga sentiasa memastikan maklumat yang disampaikan kepada orang ramai adalah tepat dan lengkap, contohnya bacaan IPU yang ditetapkan sama ada di peringkat baik, sederhana dan berbahaya yang boleh didapati di laman web JAS http://apims.doe.gov.my.

Selain program kesedaran dan maklumat di laman web, orang ramai juga boleh melaporkan sebarang pembakaran terbuka berhampiran dengan lokasi mereka kepada JAS untuk tindakan sewajarnya.

"Mereka boleh melaporkannya di mana-mana cawangan JAS yang terdekat ataupun menelefon talian bebas kami iaitu 1-800-88-2727.

"Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Halimah berkata setakat ini pihaknya mendapat lebih 3,000 aduan pembakaran terbuka setiap tahun daripada orang ramai. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan