Operasi Perkasa Dan Tutup Premis Makanan Kotor Bermula 1 Julai - Subramaniam

Diterbitkan: Sabtu, 29 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Operasi pemeriksaan dan penutupan premis makanan yang tidak bersih akan dijalankan di seluruh negara bermula 1 Julai, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata operasi itu akan melibatkan lebih 4,200 pegawai penguatkuasa di premis-premis makanan yang sudah dikenal pasti mempunyai tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Katanya premis makanan yang tidak mematuhi elemen penting kebersihan seperti kehadiran tikus, peralatan serta amalan pengendalian makanan yang tidak bersih akan diarah tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan pemilik premis makanan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Di samping itu di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis makanan akan dikenakan kompaun jika tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan dalam pemeriksaan susulan

"Denda yang akan dikenakan adalah antara RM100 ke RM1,000 bergantung kepada premis dan tahap kebersihan," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Menurutnya bilangan premis makanan yang diperiksa terus meningkat daripada 92,597 pada 2008 kepada 132,528 pada tahun lepas.

Pada tahun lepas, sebanyak 3,447 daripada premis makanan yang diperiksa diarah tutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan, katanya.

Subramaniam berkata bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 995 daripada 44,860 premis makanan yang diperiksa telah diarahkan tutup atas sebab yang sama.

Sementara itu mengenai penyakit akibat jerebu, beliau berkata terdapat pengurangan bilangan kes di semua klinik dan hospital kerajaan selepas keadaan jerebu semakin pulih.

"Sebagai contoh sebanyak 426 kes penyakit asma di Selangor dilapor minggu lepas dan menurun kepada 122 kes hari ini. Untuk kes batuk dan lain-lain sebanyak 1,743 kes dilapor minggu lepas berbanding 1,132 minggu ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata kematian seseorang tidak bermakna bahawa kaedah pemeriksaan kesihatan di negara ini lemah.

"Akan sentiasa ada orang yang jatuh sakit, ini perkara biasa. Hari ini saya boleh pergi jalani pemeriksaan kesihatan dan doktor boleh sahkan saya sihat (tetapi) esok mungkin saya jatuh sakit.

"Pada peringkat tertentu anda boleh meramalkan akan sakit, tetapi ramalan itu tidak semestinya 100 peratus betul," katanya, merujuk kepada kematian Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar, akibat kanser paru-paru di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada Rabu lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, A. Rahman mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan